Rais Hussin dilantik Pengerusi MDEC

Astro Awani
Jun 12, 2020 10:41 MYT
Pelantikan itu berkuat kuasa 15 Jun 2020 untuk tempoh dua tahun. - Gambar BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff sebagai Pengerusi baharu bagi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menerusi satu kenyataan media, Saifuddin memaklumkan pelantikan itu berkuat kuasa 15 Jun ini untuk tempoh selama dua tahun.
Menurutnya, Rais Hussin menggantikan Datuk Mathialakan Chelliah yang memangku jawatan tersebut selama dua tahun sebelum ini.
“Dr Rais Hussin seorang usahawan dan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan, teknologi maklumat dan komunikasi.
“Saya yakin beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam usaha membangunkan ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Rais Hussin berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pemimpin Bersatu itu juga merupakan pengarang bersama bagi buku berjudul ‘4IR: AI, Blockchain, Fintech - Reinventing a Nation’.
#Bersatu #ekonomi #Islam #Malaysia #Media #menteri #Saifuddin Abdullah #UIAM #usahawan