Rais Yatim soal kemampuan Najib bayar peguam bela AS

Sinar Harian
Julai 12, 2018 23:58 MYT
RAIS: Peguam Amerika Syarikat itu tentu perlu dibayar dengan kos berjuta ringgit. - Gambar fail
Tindakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan khidmat sekumpulan peguam terkemuka Amerika Syarikat dikritik, kerana bakal menelan kos guaman yang tinggi.
Bekas menteri dan veteran UMNO, Tan Sri Rais Yatim mempersoalkan 'kemampuan kewangan' Najib untuk membiayai kos guaman berkenaan.
Katanya, bayaran ikat jamin sebanyak RM1 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd baru-baru ini, menggunakan wang hasil kutipan UMNO.
Rais sebaliknya mengesyorkan Najib agar memberi kepercayaan kepada peguam Barisan Nasional (BN) atau UMNO untuk membelanya, bahkan mungkin beliau akan diberikan khidmat guaman secara percuma, termasuk proses perbicaraan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu.
"Berita ramai peguam Amerika Syarikat untuk bela kes bekas perdana menteri amat menonjol. Takkanlah peguam tempatan tak hebat sebagai peguam bela?
"Lagipun, peguam Amerika Syarikat itu tentu perlu dibayar dengan kos berjuta ringgit, sedangkan duit ikat jamin pun kena 'tekyan' (kutip wang). Yakin peguam BN atau UMNO boleh beri khidmat percuma dan lebih cekap, malah bahasa Malaysia pun boleh," tulis Rais di Twitternya

Berita ramai peguam US utk bela kes bekasPM amat menonjol. Takkanlah peguam tempatan tak hebat sbg peguambela. Lagipun peguam US itu tentu kos berjuta RM sedangkan duit jamin pun kena tekyan. Yakin peguam BN/Umno boleh beri khidmat percuma & lebih cekap. BMsia pun boleh.

— RAISYATIM (@DrRaisYatim) July 11, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, kecoh apabila Najib menggunakan khidmat sekumpulan peguam terkemuka Amerika Syarikat dikatakan mungkin berkenaan isu saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kumpulan peguam handal itu dari Ashcroft Law Firm, yang diterajui bekas Peguam Negara Amerika Syarikat, John Ashcroft, mendaftarkan nama Najib sebagai anak guam dalam daftar melalui Akta Pendaftaran Ejen Asing.
Menurut dokumen itu, firma tersebut dilantik untuk memberi nasihat undang-undang kepada Najib mengenai 'tindakan tidak wajar oleh pihak ketiga untuk cuba menggugat kerajaan Malaysia.'
Dalam dokumen itu juga, ia menyatakan perkhidmatan disediakan oleh Ashcroft Law Firm dibiayai "kerajaan asing, parti politik asing atau prinsipal asing yang lain."
Wall Street Journal pada tahun lalu melaporkan Najib melantik firma guaman itu untuk menasihati beliau mengenai kes 1MDB pada 2016.
Ashcroft Law Firm pernah mewakili kerajaan Qatar untuk menangkis tuduhan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan jiran Arabnya bahawa negara itu menyokong keganasan
#1MDB #Amerika Syarikat #Ashcroft Law Firm #Bahasa Melayu #Barisan Nasional #DoJ #ikat jamin #Jabatan Kehakiman #kewangan #kos #Najib Razak #peguam #Rais Yatim #saman sivil #UMNO