SEPANG: Raja Jordan Raja Abdullah II berangkat pulang hari ini selepas mengakhiri lawatan negara selama dua hari yang berjaya memperkukuh kerjasama pertahanan, memperluas perdagangan serta mengeratkan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Pesawat khas membawa baginda dan delegasi berlepas dari Kompleks Bunga Raya (BRC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.40 tengah hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir mengucapkan selamat jalan.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum berangkat pulang, Raja Abdullah II memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Terdahulu, Raja Abdullah II menerima menghadap Perdana Menteri di BRC, dengan kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia-Jordan, khususnya dalam pendidikan, perdagangan serta isu serantau dan antarabangsa.
Dalam lawatan dua hari itu, baginda menyeru Malaysia dan Jordan memperkukuh kerjasama pertahanan, termasuk dalam teknologi ketenteraan, peperangan menggunakan dron dan antidron, ketika kedua-dua negara berusaha menyesuaikan diri dengan cabaran keselamatan yang semakin berkembang.
Baginda bertitah keupayaan Malaysia dalam bidang industri, perisikan dan pembangunan bakat dapat melengkapi usaha Jordan memodenkan angkatan tenteranya, sekali gus membuka peluang untuk mempererat hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
Raja Abdullah II turut menekankan hubungan kerjasama perisikan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jordan serta berharap kerjasama dalam bidang itu dapat dipertingkatkan.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mezahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan Jordan akan terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan bidang lain demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
Sultan Ibrahim bertitah hubungan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara adalah berteraskan nilai bersama, sikap saling menghormati serta komitmen untuk memelihara institusi diraja dan warisan masing-masing
Pada istiadat pengurniaan khas di Istana Negara hari ini, Sultan Ibrahim berkenan mewasalkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada kepada Raja Abdullah II.
DMN yang diwartakan pada 21 Ogos 1958 merupakan antara darjah kebesaran Persekutuan yang boleh dikurniakan secara kehormat kepada raja, sultan, permaisuri, putera dan puteri diraja serta ketua negara asing.
Lawatan negara ini berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1965. Ini merupakan lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008.
Pendidikan kekal menjadi tonggak hubungan dua hala, dengan lebih 1,490 pelajar Jordan kini melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Dari sudut ekonomi, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding 2024.
Perdagangan kedua-dua negara terus mencatatkan momentum positif dari Januari hingga Ogos 2026, dengan peningkatan lapan peratus kepada RM740.7 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA