KUALA LUMPUR: Pemerintah Britain, Raja Charles III dan Permaisuri Camilla menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan negara pada Isnin.
Menerusi mesej yang dikongsikan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, Raja Charles menzahirkan keyakinan bahawa Rangka Kerja Perkongsian Strategik United Kingdom - Malaysia akan menyediakan peluang berharga untuk memperdalam kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang perdagangan, teknologi dan keutamaan bersama lain menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027.
“Secara khususnya, beta berharap kedua-dua negara akan terus memperjuangkan transisi kepada tenaga bersih serta perlindungan alam sekitar dan biodiversiti, termasuk menerusi kepimpinan bersama dalam Dialog Perdagangan Hutan, Pertanian dan Komoditi antarabangsa.
“Sehubungan itu, beta amat berharap dialog ini dapat terus memupuk kerjasama dan tindakan di peringkat akar umbi, sekali gus membantu memajukan rantai bekalan komoditi yang mampan serta memperkasakan mata pencarian dan daya tahan komuniti petani,” titah baginda dalam mesej berkenaan kepada Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah bahawa sumbangan pekebun kecil terhadap keterjaminan makanan adalah amat penting di seluruh Komanwel.
Sementara itu, Raja Charles turut mengimbas kembali perkongsian utuh antara kedua-dua negara yang berteraskan nilai bersama dan perasaan saling hormat-menghormati yang menjadi teras kepada Komanwel.
“Beta amat bangga dengan peranan yang dimainkan oleh keluarga negara-negara ini dalam memupuk persefahaman, kerjasama dan peluang di peringkat global,” titah baginda sambil menambah bahawa hubungan pendidikan yang sedia ada antara Malaysia dan United Kingdom menjadi contoh terbaik kepada semangat perkongsian ini dengan menghubungkan rakyat dan memperkasakan generasi masa hadapan.
Raja Charles bertitah kekuatan dan perpaduan kolektif Komanwel adalah lebih penting dari sebelum ini dalam mendepani ketidaktentuan global semasa.
“Beta menantikan peluang untuk negara kita berhimpun pada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada November ini, di mana kita boleh mengesahkan komitmen bersama dan merangka hala tuju masa hadapan,” titah baginda.
-- BERNAMA