SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Raja Muda Perak berkenan sempurnakan Pameran Seni Visual 'Tanah Abang ke Bukit Chandan'

Bernama 21/08/2025 | 09:45 MYT
Raja Muda Perak Raja Ja’afar Raja Muda Musa berkenan melafazkan titah perasmian pada Majlis Perasmian Pameran Seni Visual ‘Tanah Abang ke Bukit Chandan’ di sini, hari ini. - Foto Bernama
PARIT: Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan menyempurnakan perasmian Pameran Seni Visual 'Tanah Abang ke Bukit Chandan' di Galeri Al-Biruni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar dekat sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Pameran ini menelusuri perjalanan sejarah Kesultanan Perak dari Tanah Abang ke Bukit Chandan, simbol akar tradisi hingga ke pusat pemerintahan diraja.
  • Ia merupakan kesinambungan daripada pameran Pasir Salak ke Kuala Kangsar yang pernah diadakan pada tahun 2008.
  • Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan menyempurnakan perasmian di Galeri Al-Biruni, Kampus Seri Iskandar.


Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah, Pegawai Daerah Perak Tengah Mohd Zaki Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM Prof Dr Md Yusof Hamid serta Pemangku Reaktor UiTM Cawangan Perak Prof Madya Dr Nur Hisham Ibrahim.

Program anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM yang melibatkan pameran seni visual dan bicara sejarah itu berkesinambungan dengan pameran 'Pasir Salak ke Kuala Kangsar' yang pernah diadakan pada 2008.

Md Yusof dalam sembah ucapannya berkata pameran seni itu bukan sekadar menampilkan karya visual, sebaliknya menjadi sebuah wadah budaya yang mengangkat sejarah negeri Perak supaya terus dihargai oleh generasi kini dan akan datang.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan itu juga berperanan sebagai pemangkin kepada gerakan intelektual dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam landskap sosiobudaya, khususnya di daerah Perak Tengah dan negeri Perak.

"Pameran seni bertemakan sejarah bukan sahaja meraikan kreativiti seniman, tetapi turut membuka ruang wacana tentang nilai dan pengajaran masa silam. Oleh itu, seni bukanlah sekadar hiburan, tetapi medium pendidikan dan pemuliharaan warisan.

"Justeru, usaha seperti pameran itu wajar diteruskan kerana ia menghubungkan generasi dengan warisan sejarah melalui ekspresi yang bermakna," kata Md Yusof.

Selain itu, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyokong penuh penganjuran pameran berkenaan yang dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada masyarakat untuk lebih mengenali sejarah Kesultanan Perak.

Tanah Abang ke Bukit Chandan merupakan pameran seni visual mengetengahkan perjalanan sejarah Kesultanan Perak bermula dari Tanah Abang yang melambangkan akar tradisi masyarakat sehingga ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

-- BERNAMA



#Raja Muda Perak #Raja Jaafar Raja Muda Musa #perasmian #Pameran Seni Visual 'Tanah Abang ke Bukit Chandan' #UiTM