MALAYSIA

Raja Muda Perlis bertemu Imam Masjid Nabawi di Madinah

Astro Awani 25/12/2025 | 23:10 MYT
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) berbual dengan Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Muhsin Ibni Muhammad Al-Qasim (kiri) di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi pada Khamis. - Gambar ihsan MAIPs
MADINAH: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan mengadakan pertemuan dengan Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Muhsin Ibni Muhammad Al-Qasim di Pejabat Pengurusan Masjid Haramain, pekarangan Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi.

Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Sheikh Dr. Abdul Muhsin yang juga Ketua Hakim Mahkamah Rayuan al-Madinah mengalu-alukan kunjungan baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Dalam pertemuan itu, Sheikh Dr. Abdul Muhsin menyampaikan tausiyah agar umat Islam sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang soleh dengan melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Beliau menegaskan, individu yang soleh bukan sahaja mendapat keredaan Allah SWT, malah menggembirakan kedua ibu bapa.

Perbuatan yang membawa kegembiraan kepada ibu bapa, jelas beliau, termasuk dalam kategori kebajikan yang besar nilainya di sisi agama.

Sheikh Dr. Abdul Muhsin turut berpesan agar umat Islam membiasakan diri membaca, memahami dan menghayati al-Quran kerana mereka yang sentiasa bersama kitab suci itu tidak akan tersesat dan kekal dalam petunjuk Ilahi.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan agar setiap Muslim memilih sahabat yang baik kerana sahabat soleh akan menegur, menyokong dan mendorong ke arah kebaikan.

Sheikh Dr. Abdul Muhsin mempunyai hubungan rapat dengan Negeri Perlis melalui kerjasama bersama MAIPs.

Beliau pernah berkunjung ke Perlis pada 2014 dan mengadakan siri majlis ilmu pada 2016 yang memberi impak besar kepada pengukuhan tradisi keilmuan Islam di negeri itu.

Selain itu, beliau juga memperkenalkan kaedah hafalan mutun al-Quran menggunakan teknologi terkini dalam beberapa sesi lawatan Raja Muda Perlis ke Madinah, selain membantu melaksanakan kursus kehakiman syariah di Perlis selari dengan usaha memperkasakan institusi kehakiman dan pentadbiran Islam.

Pertemuan ini mencerminkan hubungan erat antara institusi keilmuan Islam di Haramain dengan kepimpinan Negeri Perlis, sekali gus memperkukuh nilai tarbiah, akhlak dan penghayatan Islam dalam kalangan ummah.





#Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #imam masjid nabawi #Sheikh Dr Abdul Muhsin Ibni Muhammad Al-Qasim