Skip to main content

Malaysia

Raja Muda Perlis perkukuh ukhuwah Perlis–Satun menerusi Ziarah Ramadan

raja muda perlis, maips, istana perlis
Tuanku Syed Faizuddin berangkat mengetuai Ziarah Ramadan anjuran MAIPs ke Madrasah Tahfiz Al-Quran Tammalang di Satun.

SATUN: Keakraban hubungan sejarah dan budaya antara masyarakat negeri Perlis dan wilayah Satun, Thailand perlu terus diperkukuh demi memelihara warisan serumpun yang telah terjalin sekian lama.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), perkara itu dizahirkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat mengetuai Ziarah Ramadan anjuran MAIPs bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, baru-baru ini.

Advertisement

Kehadiran pasangan diraja Perlis ke Madrasah Tahfiz Al-Quran Tammalang di Satun disambut meriah oleh ratusan penduduk sekitar Ban Tammalang.

Kunjungan silaturahim tersebut bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap pendidikan Islam merentasi sempadan, malah mengukuhkan hubungan emosi antara masyarakat Melayu Islam di kedua-dua wilayah berjiran.

Turut mengiringi lawatan ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor serta Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri, Datin Nuranee Pitisathepan.

Dalam titahnya, Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar ukhuwah yang sekian lama terjalin antara masyarakat Satun dan umat Islam di Perlis terus dipelihara serta dilestarikan.

Baginda menegaskan persamaan dari sudut budaya dan pegangan agama menjadi jambatan penting yang memperkukuh solidariti serumpun serta menyatukan masyarakat di kedua-dua kawasan.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan buah kurma sempena menyambut bulan Ramadan kepada beberapa masjid utama di kawasan sekitar, antaranya Masjid Tammalang Hilir, Masjid Tammalang Hulu, Masjid Puju dan Masjid Koh Ya.

Must Watch Video