Banjir: Hilir Perak catat jumlah mangsa tertinggi, pusat pemindahan di Selangor berkurangan
MALAYSIA

Raja Muda Perlis tinjau mangsa banjir Wang Kelian, serah sumbangan zakat

Astro Awani 07/12/2025 | 00:20 MYT
Tuanku Syed Faizuddin (kanan) berkenan bertanya khabar mangsa banjir ketika meninjau pusat pemindahan sementara Masjid Nurul Husna, Wang Kelian.
KAKI BUKIT: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Nurul Husna, Wang Kelian, yang menjadi lokasi pertama di Perlis dilanda banjir pada 23 November lalu.

Dalam kunjungan itu, baginda turut menyempurnakan penyerahan agihan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf anak kariah Wang Kelian, masing-masing menerima RM700. Baginda juga menyerahkan simbolik RM6,600 Sumbangan Dapur Cakna MAIPs untuk PPS berkenaan.

Turut mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Banjir Wang Kelian turut menyebabkan runtuhan jalan, memutuskan laluan ke View Point dan menjejaskan pergerakan penduduk serta pelancong.

Mangsa banjir dipindahkan ke PPS, manakala pelancong yang terkandas ditempatkan sementara sebelum usaha mengeluarkan mereka dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan.

Penghantaran makanan dijalankan secara ‘point to point’ di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

JKR kini melaksanakan kajian terperinci dan kerja pembaikan jalan serta cerun yang dijangka siap dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Buat masa ini, laluan ke Wang Kelian hanya dibuka kepada penduduk setempat, kenderaan kecemasan dan pasukan pembaikan.

Dalam sesi pertemuan bersama penduduk, baginda turut menekankan kepentingan orang awam merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi agensi berkaitan dan tidak mudah terpengaruh dengan hantaran di media sosial.

Jika ragu-ragu, orang ramai digalakkan menghubungi pihak berkuasa untuk pengesahan.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan meninjau Masjid Al Mubarak Tasoh yang terjejas akibat banjir serta beberapa kediaman berhampiran.



#Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #mangsa banjir #Wang Kelian #sumbangan zakat