MALAYSIA
Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis terima anugerah usaha martabatkan pendidikan serantau
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) berkenan menerima Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah yang disampaikan oleh Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal. Berangkat sama Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kanan).
MEDAN: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah oleh Yayasan Ubudiyah Indonesia dan Universitas Deztron Indonesia, di sini, atas sumbangan baginda dalam memartabatkan pendidikan serantau.
Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal pada Majlis Penganugerahan Dewan Kehormat Ubudiyah di Universitas Deztron Indonesia, pada Khamis.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menerima Anugerah Bakti Mulia Ubudiyah yang disampaikan oleh Rektor Universitas Deztron Indonesia, Prof Adjung Dr Marniati.
Penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda berdua dalam memartabatkan pendidikan, memperkukuh kebajikan dan menegakkan kepimpinan berwawasan di peringkat serantau.
Dalam titah ucapan, baginda menzahirkan penghargaan kepada Universitas Deztron Indonesia di bawah pimpinan Marniati serta Yayasan Ubudiyah Indonesia yang dipimpin oleh Dedi Zefrizal atas penganugerahan yang disifatkan sebagai simbol tanggungjawab luhur dan pengiktirafan terhadap usaha memperkasa ilmu serta kebajikan.
"Anugerah ini memperteguh iltizam Raja Puan Muda Perlis dan saya sendiri untuk terus berkhidmat, mengangkat martabat ilmu dan menyinari kehidupan umat dengan cahaya harapan, insya-Allah," titah baginda.
Baginda juga bertitah, hubungan istimewa Malaysia-Indonesia perlu terus diperkukuh melalui bidang pendidikan kerana ia adalah kunci utama transformasi masyarakat.
"Mendidik seorang anak bangsa bermakna kita sedang membina sebuah negara yang bermaruah, mempunyai ketahanan dan mampu bersaing. Kepada generasi muda, jangan pernah gentar untuk bermimpi besar. Jadikan ilmu sebagai senjata dan perisai dalam menempuh cabaran," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin atas usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Majlis penganugerahan itu adalah sebahagian daripada agenda di bawah Ekspedisi Ilmu FCoEE-MAIPs yang berlangsung selama tiga hari bermula esok di Medan, Indonesia.
Agenda kemuncak ekspedisi itu adalah Persidangan Antarabangsa Mengenai Peluang Holistik Untuk Pemerkasaan Kemiskinan (ICOHOP) 2025 anjuran FCoEE bersama MAIPs.
Ia dijangka menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin masyarakat, penyelidik serta pemain industri daripada pelbagai negara bagi membincangkan isu-isu global berkaitan pemerkasaan asnaf, pendidikan dan kemanusiaan.
Terdahulu, baginda turut melancarkan kempen Promosi Makanan Perlis di Universitas Deztron Indonesia hari ini dalam usaha mempromosikan makanan tempatan negeri itu khususnya di Medan.
-- BERNAMA

#Raja Muda Perlis
#Raja Puan Muda Perlis
#Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
#Anugerah Dewan Kehormatan Ubudiyah
#Universitas Deztron Indonesia