MALAYSIA
Raja Nurfatimah Mawar, Penolong Pengarang Berita Hiburan BH, meninggal dunia
Pemergian wartawan berpengalaman lebih tiga dekad itu mengejutkan ramai, termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan dalam industri seni.
KUALA LUMPUR: Dunia kewartawanan hiburan tanah air kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang hari ini.
Allahyarham yang berusia 49 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2 petang selepas mengadu sakit badan dan mengalami kesukaran bernafas.
Pemergian wartawan berpengalaman lebih tiga dekad itu mengejutkan ramai, termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan dalam industri seni.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Terengganu.
Sementara itu, menurut laporan BH, pembantu rumahnya, Khusnul Khotimah, 23, berkata Allahyarham sudah dua minggu mengadu tidak sihat dan sering meminta ditemani kerana takut tinggal bersendirian.
“Keadaan arwah hari ini nampak lebih teruk. Pagi tadi dia mengadu sakit badan dan minta saya urutkan. Sekitar jam 1 tengah hari, saya cuba suapkan air, tetapi dia muntah semula dan kelihatan semakin lemah.
"Saya panik dan keluar rumah untuk minta bantuan. Saya maklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum jiran datang membantu,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah.
Raja Nurfatimah memulakan kerjaya kewartawanan sebagai wartawan sambilan di Biro BH Kuala Terengganu pada usia 18 tahun, sebelum menyertai Harian Metro (HM) sebagai wartawan tetap.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai unit termasuk berita, jenayah dan hiburan di kedua-dua akhbar.
Sebagai wartawan hiburan, Allahyarham dikenali dengan penulisan eksklusif dan berani, termasuk laporan mengenai penderitaan penyanyi veteran Sahara Yaacob yang hidup menumpang di stor.
Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan beberapa nama besar industri seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Noorkumalasari dan keluarga Datuk Yusof Haslam.
Pada tahun 2017, Allahyarham menerima Anugerah Penulis Pojok Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) menerusi artikel bertajuk Beginikah Perilaku Penggiat Seni dalam ruangan Desas Desus BH.