[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
MALAYSIA

Raja Perlis kurnia darjah kebesaran, pingat negeri kepada 185 penerima

Bernama 23/06/2025 | 21:45 MYT
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri kepada 185 penerima sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82. - Gambar fail Bernama
ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri kepada 185 penerima sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat itu yang berlangsung di Istana Arau, di sini, semalam dan Khamis ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memaklumkan, seorang penerima dianugerahkan Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) manakala Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) dianugerahkan kepada 23 individu pada istiadat penganugerahan yang dilaksanakan secara dua sesi itu di istana berkenaan,
Beliau berkata, seramai 20 penerima dianugerahkan Pingat Mahkota Perlis (PMP) dan 60 individu dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala 69 orang dianugerahkan Pingat Jasa Baik (PJB).
"(Seramai) 11 penerima akan dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) dan seorang penerima akan dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT)," katanya dalam kenyataan semalam.
Berdasarkan senarai penerima yang dilampirkan dengan kenyataan media Menteri Besar Perlis itu, jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)j Harry Salzman Abu Bakar dan Ketua Bahagian Rancangan RTM Perlis, Nur Suriawaty Abdul Nasir antara 60 individu yang dianugerahkan PJK.
Sementara itu, tiga selebriti tanah air iaitu pelakon Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar, Nur Fasha Sandha Hassan dan Ezany Nizariff atau nama sebenarnya Dr Mohd Zani @ Mohd Zohiri Mohd Nizariff antara 69 penerima yang dianugerahkan PJB.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri Perlis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran dan pingat dan berharap penganugerahan itu menjadi pemangkin kecemerlangan berterusan dalam memartabatkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negeri khususnya.
Sesi pertama istiadat penganugerahan darjah dan pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis itu berlangsung di Istana Arau pada 17 Mei lepas melibatkan 25 penerima dianugerahkan darjah dan pingat masing-masing pada tarikh berkenaan.
-- BERNAMA
#Raja Perlis #Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail #darjah kebesaran Perlis #pingat negeri Perlis