NATIONAL
Raja Perlis tegur segelintir penjawat awam di Perlis penting diri

Tuanku Syed Sirajuddin menegur segelintir penjawat awam yang didapati mementingkan diri lebih daripada kepentingan rakyat. - Gambar fail/Bernama
ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini menegur cara kerja segelintir penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu apabila didapati mementingkan diri berbanding kepentingan rakyat.
Ringkasan AI
- Seruan Meningkatkan Budaya Kerja: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menegur segelintir penjawat awam yang didapati mementingkan diri lebih daripada kepentingan rakyat dan menyeru mereka untuk menukar budaya kerja ke arah yang lebih berkualiti.
- Harapan untuk Kemajuan Negeri: Baginda menekankan bahawa Perlis harus maju seperti negeri lain, memerlukan kesungguhan setiap pihak dalam menjalankan tugas agar pentadbiran negeri dapat terus membawa pembangunan.
- Istiadat Penganugerahan: Teguran tersebut dibuat semasa Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis, di mana baginda mengurniakan anugerah kepada 25 penerima bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda.
"Saya minta penjawat awam yang terlibat mengikut contoh yang baik ditunjukkan oleh sahabat tuan-tuan dan puan-puan ... saya harap pegawai yang terlibat itu faham maksud saya," titah baginda pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 di Istana Arau, di sini hari ini.
Berangkat sama pada istiadat penganugerahan itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Raja Perlis bertitah baginda mahu Perlis maju ke hadapan seperti negeri lain dan tidak ketinggalan sekali gus memerlukan kesungguhan setiap pihak dalam menjalankan tugas masing-masing supaya jentera pentadbiran negeri boleh membawa pembangunan kepada Perlis.
Pada istiadat penganugerahan itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 25 penerima dan jumlah penerima itu ialah jumlah simbolik yang dipilih bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis yang diraikan bermula pada 17 April lepas hingga 16 April 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami