NATIONAL
Raja Permaisuri Agong berkenan santuni sahabat lama di Kelantan

Raja Zarith Sofiah dan Zaiton berpelukan pada pertemuan yang diadakan selepas selesai keberangkatan baginda ke acara Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kota Bahru semalam. - Foto Facebook Sultan Ibrahim
KOTA BHARU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni sahabat lama baginda Zaiton Hashim atau lebih dikenali sebagai Kak Ton yang menetap di Kelantan.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, persahabatan itu mula terjalin apabila Raja Permaisuri Agong menyalurkan bantuan kepada Kak Ton yang mempunyai seorang anak perempuan Allahyarhamah Samihah Suradin (Mimi) yang menghidap penyakit encephalomyelitis.
Penyakit itu menyebabkan Mimi lumpuh daripada leher ke bawah dan tidak mampu bernafas tanpa bantuan mesin pernafasan dan arwah meninggal dunia pada tahun 2000.
"Saya mendapat tahu tentang kisah Kak Ton dan Mimi melalui laman sesawang yang dibuka bagi menyalurkan bantuan kepada mereka."Kami menjadi sahabat kerana kami berdua mempunyai anak yang umurnya sebaya, tetapi saya tersentuh kerana arwah Mimi yang tua setahun daripada Tunku Tun Aminah terpaksa hidup bertahun-tahun lamanya dalam wad ICU," titah Seri Paduka Baginda dan persahabatan mereka terjalin erat hingga ke hari ini.
Raja Zarith Sofia bertitah perbezaan latar belakang dan tempat tinggal antara Johor dan Kelantan tidak membataskan persahabatan mereka.
"Pada saya, Kak Ton merupakan seorang insan istimewa yang sangat penyabar dan percaya kepada ketentuan Allah SWT, walaupun diduga dengan ujian yang begitu berat," titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Zaiton berkata beliau amat terharu apabila Seri Paduka Baginda menjemputnya untuk mengadap hari ini.
"Walaupun sudah lama tidak bersua, kami sentiasa berhubung melalui telefon," katanya.
Pertemuan itu berlangsung selepas selesai keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kota Bahru.
Semasa pertemuan itu, Zaiton turut menunjukkan kepada Raja Zarith Sofiah sebuah album yang mengabadikan kenangan beliau mengadap Seri Paduka Baginda di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada 1998 dan penerimaan sumbangan untuk Allahyarhamah Mimi dalam majlis makan malam Ikebana International.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami