MALAYSIA

Raja Permaisuri Agong mulakan lawatan dua hari ke Labuan

Bernama 26/07/2025 | 05:25 MYT
Raja Permaisuri Agong diiringi oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim. - Foto Bernama
LABUAN: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia berangkat tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari, yang juga lawatan kedua Seri Paduka Baginda ke pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia itu.


Ringkasan AI
  • Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia tiba di Labuan untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh barisan pemimpin tempatan dan persekutuan.
  • Baginda dijadual menyempurnakan Festival Flora Borneo Labuan (BFF) dan menghadiri majlis santapan malam pada hari pertama.
  • Esok, Raja Zarith Sofia akan merasmikan pembukaan Galeri Kraftangan Labuan yang baharu.


Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofia di Lapangan Terbang Labuan pada 11.27 pagi disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abd Rahim.

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib dan Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim.

Raja Permaisuri Agong diiringi oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Semasa lawatan ini, Raja Zarith Sofia dijadualkan menyempurnakan Festival Flora Borneo Labuan (BFF) yang julung-julung kali diadakan, di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan hari ini, diikuti oleh majlis santapan malam.

Esok, Seri Paduka Baginda dijadualkan menyempurnakan pembukaan Galeri Kraftangan Labuan yang baru ditubuhkan.

-- BERNAMA





#Raja Permaisuri Agong #Raja Zarith Sofia #lawatan rasmi #Labuan