Raja Thailand perkenan dekri bubar Parlimen bagi pilihan raya umum

Anutin berkata, pentadbiran yang stabil dengan mandat jelas diperlukan bagi memastikan tadbir urus yang berterusan dan berkesan, manakala situasi semasa Thailand boleh menjejaskan kestabilan politik serta keyakinan antarabangsa.
BANGKOK: Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan dekri diraja bagi membubarkan Dewan Perwakilan, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya umum yang perlu diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari.
Ringkasan AI
- Raja Thailand bersetuju membubarkan Dewan Perwakilan dan mengizinkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari setelah menerima cadangan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.
- Pembubaran Dewan dilakukan kerana kerajaan beroperasi sebagai pentadbiran minoriti tanpa majoriti, sambil menghadapi cabaran ekonomi, sosial, politik, dan keselamatan yang kompleks.
- Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh pengundian dalam tempoh tersebut dan Anutin menekankan bahawa tindakan ini untuk mengembalikan kuasa membuat keputusan kepada rakyat.
Beliau berkata bahawa negara berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi, tekanan sosial dan politik, perubahan dinamik geopolitik, serta ketegangan keselamatan baru-baru ini di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Kerajaan telah mengambil langkah segera menangani isu-isu nasional mendesak termasuk usaha pindaan perlembagaan, dasar pemulihan ekonomi, dan inisiatif membantu komuniti yang terjejas akibat bencana alam serta kejutan luaran, kata beliau.
Anutin turut menyatakan bahawa pentadbiran yang stabil dengan mandat jelas diperlukan bagi memastikan tadbir urus yang berterusan dan berkesan, manakala situasi semasa boleh menjejaskan kestabilan politik serta keyakinan antarabangsa.
"Oleh itu, tindakan yang sewajarnya ialah membubarkan Dewan Perwakilan bagi mengembalikan kuasa membuat keputusan kepada rakyat... ," menurut dekri itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka menetapkan tarikh pengundian dalam tempoh tidak kurang 45 hari dan tidak melebihi 60 hari selepas dekri itu dikuat kuasa.
Pada Khamis, Anutin memuat naik kenyataan dalam bahasa Thai di Facebook, menyatakan: "Saya mengembalikan kuasa kepada rakyat."
Beliau sebelum ini berkata pada September bahawa beliau merancang membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari, dengan pilihan raya umum berkemungkinan diadakan pada Mac atau awal April.
Pilihan raya umum akan menyaksikan kesemua 500 kerusi di Dewan Perwakilan dipertandingkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


