MALAYSIA

Raja Zarith Sofiah berkenan kunjungi pameran '1001 Inventions: The Enduring Legacies of Muslim Civilisation'

Bernama 07/11/2025 | 07:15 MYT
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (dua,kanan) berkenan berangkat ke Lawatan Diraja Sempena Pameran Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mengadakan lawatan diraja ke pameran istimewa '1001 Inventions: The Enduring Legacies of Muslim Civilization', di sini.

Pameran bersempena dengan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 yang berlangsung selama lima hari itu bakal melabuhkan tirai pada esok.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10.15 pagi disambut oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Raja Zarith Sofiah meluangkan masa kira-kira sejam melawat pavilion yang mengetengahkan sumbangan dunia Islam dan tamadun lain terhadap pembangunan sains dan teknologi dunia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata Seri Paduka Baginda sangat teruja dan terkejut melihat kreativiti pihak universiti dalam menterjemahkan ilustrasi buku ke bentuk pameran yang begitu hebat.

"Raja Permaisuri Agong berharap agar pameran ini dibawa ke tahun hadapan dan diadakan di Kuala Lumpur.

"Seri Paduka Baginda turut bertitah akan mencari buku dan berkenan untuk menyerahkan kepada kita (Jabatan Pendidikan Tinggi) untuk kita kembangkan selepas ini untuk mengadakan pameran seumpama ini dalam skala lebih besar," katanya yang berkongsi reaksi Seri Paduka Baginda, kepada Bernama.

Azlinda berkata ruang pameran berkeluasan 285 meter persegi dalam pavilion itu merupakan kreativiti pelajar daripada enam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan, iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Teknologi Malaysia.

Beliau berkata objektif pameran itu adalah untuk meningkatkan kesedaran pengunjung tentang inovasi yang telah wujud sejak zaman dahulu.

"Umat Islam zaman dahulu telah melakukan pelbagai inovasi dalam kehidupan seharian. Kalau kita tidak ketengahkan, hasil inovasi ini akan ditiru pihak lain dan mengaku bahawa itu adalah idea mereka," katanya.

Lebih 200 pempamer melibatkan penyertaan IPT tempatan, agensi kerajaan serta penglibatan antarabangsa termasuk China, United Kingdom dan negara anggota ASEAN mengambil bahagian dalam pameran berkenaan dengan mengetengahkan pelbagai maklumat masing-masing.

Semalam, Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan titah diraja ketika merasmikan FOI yang memasuki edisi kedua, bertemakan MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea.

Dalam titah diraja itu, Raja Zarith Sofiah menzahirkan harapan agar FOI Putrajaya akan terus menjadi wadah penyebaran hikmah dan meneruskan warisan ilmu dengan penuh amanah serta menjadi cahaya kepada mereka yang menimba ilmu, panduan bagi para pemimpin, dan inspirasi untuk semua yang mencurahkan khidmat bakti.

FOI Putrajaya 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Nov ini dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan kira-kira dua juta peserta, termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.

Memasuki tahun kedua penganjuran, Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar medan pertemuan idea tetapi juga wadah utama untuk merealisasikan solusi berasaskan ilmu dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Festival anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bakal menyaksikan majlis perasmian penutupan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.

-- BERNAMA






#Raja Permaisuri Agong #Raja Zarith Sofiah #1001 Inventions The Enduring Legacies of Muslim Civilization #festival idea putrajaya