Ringkasan AI
- Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mengurniakan 376,000 pelitup muka kepada murid sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- Sumbangan diagihkan kepada 289 sekolah di Kuala Lumpur dan 28 sekolah di Putrajaya bagi membendung risiko kesihatan akibat jerebu.
- Fokus agihan adalah melindungi kebajikan pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, melalui kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah dan rakan strategik.
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan sebanyak 376,000 keping pelitup muka kepada murid sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara pada Khamis, majlis penyerahan kurniaan tersebut disempurnakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr Azmi Rohani kepada pengetua dan guru besar sekolah terlibat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sumbangan berkenaan diagihkan kepada murid-murid di 289 buah sekolah di Kuala Lumpur dan 28 sekolah di Putrajaya, sebagai usaha proaktif membendung risiko kesihatan akibat masalah jerebu yang melanda ketika ini.
Istana Negara berkata, fokus agihan diberikan adalah bagi melindungi kebajikan pelajar, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau kumpulan B40.
Kurniaan diraja itu disalurkan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama strategik bersama Yayasan Jeffrey Cheah serta Wangsa Ultima Sdn Bhd.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishamuddin Abdul Rahim serta Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid Kementerian Pendidikan Malaysia, Hirudin Mohit.
Inisiatif berkenaan, menurut Istana Negara lagi, menzahirkan keprihatinan berterusan Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan warga sekolah di peringkat akar umbi bagi memastikan sesi pembelajaran harian dapat berlangsung dalam persekitaran yang sihat dan selamat.