KANGAR: Program Rakan Muda yang diperkenalkan semula dan diberikan nafas baharu oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merupakan antara usaha pembangunan jati diri golongan belia di negara ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata program Rakan Muda mula diperkenalkan pada 1994 dan telah berjaya melahirkan generasi MADANI yang mampu bersosial dengan masyarakat.

"Sebab itu Rakan Muda dijadikan sebagai satu 'flagship' semula (mercu kebanggaan)...contohnya belia yang meminati sukan permotoran boleh mengikuti Rakan Litar kerana di dalamnya terdapat nilai jati diri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri Perlis di sini semalam.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan Perlis Muhammad Azmir Azizan, Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Gan Ay Ling serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis (JBSNPs) Nizam Mat Daud.

Program Rakan Muda lain termasuk Rakan Demokrasi, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin yang kesemuanya menerapkan eleman pembangunan jati diri belia.

Terdahaulu dalam ucapannya, Adam Adli berkata selain daripada usaha membina pontensi belia melalui insiatif bersifat insaniah, KBS turut mengutamakan keperluan menyediakan infrastruktur lengkap untuk manfaat warga Perlis.

"KBS melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksana projek naik taraf infrastruktur stadium utama Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra termasuk pembinaan trek balapan baharu bernilai RM8 juta," katanya.

Di bawah projek sama, KBS telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.8 juta bagi pembinaan padang bola sepak sintetik di kompleks berkenaan.

Beliau berkata KBS juga telah meluluskan projek menaik taraf Litar Motorcross di Sungai Batu Pahat, Kangar dengan peruntukan sebanyak RM400,000.

"Kompleks Kolam Renang Negeri Perlis dijangka akan dibuka semula pada Ogos ini setelah ditutup selama setahun bagi kerja-kerja naik taraf melalui peruntukan sebanyak RM1.9 juta oleh KBS," katanya menambah warga Perlis akan diberi peluang menggunakan kemudahan kolam renang secara percuma selama dua minggu apabila ia dibuka semula.

-- BERNAMA