Rakan tergelincir dan terseliuh, niat hendak mandi air terjun terbantut

Aida Aziz
Disember 29, 2019 21:50 MYT
Mangsa terseliuh di bahagian pinggul semasa mandi di air terjun bersama rakan-rakannya. Foto JBPM Perak
Kegembiraan enam sekawan mandi-manda di kawasan air terjun di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya tergelincir dan terseliuh di bahagian pinggul di Sungai Silibin, Meru Raya di sini, pada Ahad.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mangsa seorang lelaki Orang Asli berumur 19 tahun perlu diselamatkan anggota bomba kerana tidak mampu berjalan.
"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya terima panggilan pada pukul 4.48 petang berhubung kejadian itu.
"Kekuatan anggota terdiri daripada BBP Meru Raya (5), BBP Ipoh (7) dan BBP Pasir Puteh (3).
"Setibanya jentera di lokasi kejadian, dimaklumkan dari rakan mangsa bahawa mereka datang ke situ (air terjun) untuk mandi dalam jarak 2 kilometer, malangnya salah seorang dari mereka tergelincir dan terseliuh ketika mandi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya lagi, anggota berdepan kesukaran ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa berikutan faktor laluan kawasan air terjun itu yang sukar dilalui.
"Anggota menggunakan pengusung untuk mengeluarkan mangsa dari kawasan itu dengan melalui tebing air terjun dan membuat rawatan awal kepada mangsa," katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 10.39 malam.
#air #air terjun #bomba #Ipoh #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #JBPM Perak #mandi #mandi-manda #mangsa #Meru #operasi #Orang Asli #Silibin #Sungai