RIYADH: Warga Arab Saudi yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 mendapat lampu hijau untuk meninggalkan negara itu buat pertama kali selepas lebih setahun sekatan perjalanan dilaksanakan.

Pengumuman itu dibuat selepas 11.5 juta penduduknya menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pihak berkuasa juga membenarkan individu yang pulih daripada virus COVID-19 dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dengan insurans perjalanan untuk mengembara ke luar negara.

Mereka hanya perlu menunjukkan status kesihatan kepada pegawai bertugas di lapangan terbang.

Bagaimanapun, individu luar negara yang ingin memasuki Arab Saudi masih perlu menjalani kuarantin kendiri dengan ujian saringan.

Arab Saudi sudah merekodkan lebih 430,000 kes positif COVID-19 dengan 7,160 kematian.