MALAYSIA

'Rakyat berhak kecewa' - Agong nasihat pihak berkuasa hormati aspek Rukun Negara

Naz Raseed 09/01/2026 | 03:20 MYT
Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu semasa reformasi negara oleh Azalina di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Facebook Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah dua aspek dalam Rukun Negara harus terus dipertahankan sebagai asas utama sistem pemerintahan negara ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, baginda bertitah, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang mesti terus dipelihara dan dipertahankan.

“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah.

“Pemeliharaan dua aspek Rukun Negara itu amat penting kerana ia memberi kesan secara langsung ke atas tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara,” titah baginda.

Titah berkenaan dizahirkan ketika baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Sri Azalina Othman Said di sini hari ini.

Menurut kenyataan Istana Negara, dalam pertemuan itu, baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa berkaitan perundangan negara.

Ia termasuk aspek pengukuhan tadbir urus dan usaha reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Pada masa sama, Azalina memaklumkan kepada baginda mengenai langkah-langkah reformasi institusi, khususnya usaha memerangi rasuah yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pentadbiran.





#Azalina Othman Said #Yang di-Pertuan Agong #Rasuah #Rukun Negara