Kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertujuan untuk memastikan bekalan dan bahan-bahan makanan utama mencukupi sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri.

"Rakyat jangan panik kerana anggaran jumlah bekalan makanan pastinya cukup buat musim perayaan, dengan peruntukan daging lembu dan kerbau sebanyak 24,000 metrik tan, ayam (142,000 metrik tan), telur ayam (800,000,000 biji), ikan segar beku atau QFish (145 metrik tan), kubis bulat (9200 metrik tan) dan kelapa biji (28,600,000 biji)," kata menteri MOA, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke persidangan media di pejabat MOA di sini pada Rabu sejurus menyentuh mengenai inisiatif Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani.

Penganjuran ini bagi memudahkan rakyat berbelanja bahan-bahan persediaan makanan pada musim perayaan dengan harga yang lebih murah.

Ia berlangsung selama lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri di pasar tani mega di seluruh negara.

"Bekalan makanan boleh didapatkan melalui outlet pemasaran sedia ada di bawah MOA seperti Pasar Tani, MyFarm Outlet, Pasar Komuniti (PAKAR), Agrobazar Rakyat, My Best Buy, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) serta Dasar Nelayan," tambah Salahuddin.

Rakyat juga boleh membuat sebarang aduan jika terdapat isu barang tiruan, penyeludupan atau penjualan harga melebihi had yang ditetapkan menggunakan Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA).