KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menetap atau melancong di Asia Barat digesa mematuhi arahan kerajaan tuan rumah berkaitan keselamatan awam dan perkongsian maklumat memandangkan keadaan keamanan di rantau itu masih tidak menentu.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan pihak berkuasa di beberapa negara termasuk Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait, telah mengeluarkan amaran ketat terhadap mengambil gambar atau merakam insiden keselamatan, tapak pemintasan atau petugas keselamatan, dengan pelanggaran boleh dihukum mengikut undang-undang.
Advertisement
“Kerajaan tuan rumah juga telah memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menyebarkan maklumat atau khabar angin yang tidak disahkan berhubung keadaan keselamatan dan telah menasihati orang ramai untuk bergantung hanya pada sumber rasmi kerajaan.
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya sebarang sekatan pergerakan tempatan atau arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh kerajaan tuan rumah,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menambah situasi keselamatan serantau masih tidak menentu dengan aktiviti ketenteraan berlanjutan dilaporkan di beberapa bahagian Asia Barat sejak 48 jam lepas.
Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan ia juga memantau dengan teliti perkembangan melibatkan kapal dan pelaut Malaysia yang beroperasi di Teluk Arab berikutan gangguan pelayaran maritim melalui Selat Hormuz.
Kementerian itu menyatakan beberapa kapal kendalian Malaysia kini berada di rantau Teluk yang lebih luas kerana trafik kargo komersial melalui selat itu masih terganggu.
“Sehingga laporan terkini, semua kru warga Malaysia yang dihubungi disahkan selamat dan dalam keadaan sihat.
“Misi Diplomatik Malaysia di rantau itu terus berhubung dengan pihak berkuasa pelabuhan dan pengendali perkapalan yang berkaitan untuk memantau kebajikan dan keselamatan pelaut Malaysia yang terjejas akibat gangguan maritim ini,” menurut kenyataan itu.
Bilik Gerakan Kementerian Luar di Putrajaya aktif 24 jam dan boleh dihubungi pada talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel [email protected]
-- BERNAMA