KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Rusia, Armenia dan Belarus dinasihatkan supaya terus berwaspada susulan pengisytiharan operasi memerangi pengganas (CTO) di Moscow dan wilayahnya pada Sabtu.

Kedutaan Malaysia di Rusia dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi akaun Twitter menggesa rakyat Malaysia di ketiga-tiga negara itu mendaftar atau mengemas kini maklumat terkini mereka kepada kedutaan melalui e-mel ([email protected]) dan nombor telefon; +7 (495) 419 9898/99 atau +7 (906) 746 1333 (pegawai bertugas).

"Pendaftaran adalah penting untuk memastikan maklumat yang berkaitan dan kemas kini daripada Kedutaan/Kerajaan Malaysia dapat disampaikan dengan efektif dan seefisien mungkin.

"Kedutaan sedang memantau dengan teliti situasi semasa di negara ini dan menggesa semua rakyat Malaysia, khususnya pelajar di Moscow, Kursk, St. Petersburg dan Volgograd supaya sentiasa berwaspada dan bertenang, mengehadkan pergerakan di luar rumah, mengelakkan kawasan sesak, sentiasa membawa dokumen peribadi (termasuk pasport) dan memastikan dokumen perjalanan adalah sah dan mudah diakses.

"Bagi rakyat Malaysia yang merancang untuk pergi ke Rusia, mereka dinasihatkan untuk menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting, sehingga keadaan bertambah baik," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata menerusi ciapan di Twitternya, "Kementerian memantau dengan teliti situasi di Rusia susulan pergolakan yang disebabkan pemberontakan bersenjata.

"Kedutaan sedang berhubung rapat dengan semua 755 rakyat Malaysia yang berdaftar dan meminta mereka bertenang, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berada di dalam rumah."

Ketegangan semakin memuncak di Rusia selepas kumpulan upahan Wagner, yang diketuai Yevgeny Prigozhin, juga pernah menjadi sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin, melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan tentera Rusia.

Prigozhin berkata pejuangnya akan mara ke Moscow, mendorong Kremlin meningkatkan langkah keselamatan merentasi pelbagai wilayah di negara itu, lapor Agensi Anadolu pada Sabtu.

Dalam perkembangan terbaharu, Prigozhin kemudian mendakwa pejuangnya memutuskan untuk berundur bagi mengelakkan pertumpahan darah ketika mereka berada kira-kira 200 kilometer (124 batu) dari Moscow,  manakala Presiden Belarus Alexander Lukashenko berkata beliau mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner dengan persetujuan Putin, dan Prigozhin menerima perjanjian untuk “mengendurkan ketegangan.”

-- BERNAMA