KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang merancang cuti panjang sempena Aidilfitri di Thailand dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan susulan laporan kekurangan bekalan petrol dan diesel sejak dua hari lalu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, nasihat itu termasuk bagi mereka yang ingin memandu ke destinasi popular seperti Hat Yai dan Songkhla.
Advertisement
“Sekiranya tiada urusan penting atau mendesak, tangguhkan dahulu perjalanan. Jika mustahak, pastikan perancangan dibuat dengan teliti,” katanya pada Rabu.
Menurutnya, kekurangan bekalan minyak itu bukan berpunca daripada masalah pengeluaran, sebaliknya akibat pembelian panik dalam kalangan rakyat Thailand susulan krisis di Asia Barat.
“Keadaan ini menyebabkan banyak stesen minyak kehabisan bekalan, selain berlaku kesesakan panjang di hampir semua stesen termasuk di selatan Thailand,” katanya.
Ahmad Fahmi menegaskan setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terkandas dan rakyat dinasihatkan menangguhkan perjalanan sehingga keadaan kembali stabil.
Kerajaan Thailand turut memberi jaminan bekalan minyak untuk kegunaan domestik masih mencukupi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN, Aida Oujeh berkata, gangguan bekalan minyak dijangka berlarutan kira-kira 10 hari bermula 16 Mac.
“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan rakyat Malaysia, malah turut memberi kesan kepada penduduk Thailand apabila banyak stesen minyak terpaksa ditutup sementara kerana kehabisan bekalan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin ke negara jiran supaya mengisi penuh tangki kenderaan sebelum memasuki Thailand atau mendapatkan bekalan minyak pada waktu pagi. - Sinar Harian