MALAYSIA

Rakyat Malaysia ditahan di Thailand disyaki anggota sindiket dadah rentas negara - PDRM

Bernama 14/11/2025 | 10:06 MYT
Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya kini sedang menyelaras siasatan dengan pihak berkuasa Thailand. - Gambar fail
KLANG: Seorang lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama 75 kilogram ketamin minggu lepas dipercayai merupakan anggota rangkaian pengedaran dadah rentas negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menyelaras siasatan dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan saki-baki anggota rangkaian sindiket itu yang dipercayai turut bergiat aktif di negara ini.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu memiliki empat rekod lampau dan polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

"Mengenai kes yang sedang disiasat pihak Thailand, kita menunggu proses undang-undang di negara tersebut kerana mereka mempunyai keterangan untuk mendakwa suspek di sana," katanya pada sidang media di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Hussein berkata pihak berkuasa Thailand mempunyai asas kukuh untuk mendakwa suspek berdasarkan keterangan yang telah dikumpulkan, dan lazimnya negara yang membuat tangkapan akan menjalankan pendakwaan khususnya berkaitan dadah.

Beliau berkata maklumat diperoleh dari Thailand turut digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti struktur keseluruhan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

"Bagi rangkaian sindiket yang turut beroperasi di Malaysia, PDRM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan maklumat yang diperoleh," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengenal pasti rangkaian sindiket yang dikaitkan dengan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun selepas dia ditahan bersama 75 kilogram ketamin di dalam kereta dipandunya di Wilayah Chumphon, Selatan Thailand, Khamis lepas.

Media Thailand melaporkan penahanan itu dilakukan oleh Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB) bersama Polis Wilayah Chumphon dalam satu sekatan jalan raya di Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae.

-- BERNAMA

#rakyat Malaysia #Thailand #sindiket dadah #PDRM