MALAYSIA

Rakyat Malaysia hadir sambut ketibaan wira Global Sumud Flotilla di KLIA

Seth Akmal 07/10/2025 | 13:36 MYT
Orang ramai mula membanjiri balai ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambut ketibaan 23 sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Orang ramai mula membanjiri balai ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambut ketibaan 23 sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) di sini hari ini.

Para sukarelawan dijangka tiba sekitar jam 9.50 malam dengan menaiki pesawat penerbangan Emirates EK452.

Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai hadir di Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia sebagai tanda sokongan kepada para sukarelawan yang telah ditahan oleh rejim zionis Israel di perairan antarabangsa pada 2 Oktober ketika menuju ke Gaza.

Laungan “Free Palestine”, “Hidup Sumud”, “Hidup Gaza” dan “Hancur Israel” turut bergema dalam kalangan orang ramai yang hadir sejak jam 7 tadi.

Noor Murni Apandi, 62, dari Bandar Baru Bangi turut hadir bagi menyaksikan kepulangan para sukarelawan sambil berharap agar semangat mereka dicontohi oleh golongan muda.

“Saya rasa (para sukarelawan) harus pergi lagi, sampai Israel jemu dan kita dapat sampai ke Gaza.

“Sebagai seorang ibu saya saya rasa bangga dengan semangat yang para sukarelawan tunjukkan,” katanya.

Fauziah Mohamed Eusoff, selaku suri rumah tidak dapat menahan sebak atas nasib yang menimpa para sukarelawan GSF.

“Tipulah kalau kata tak sedih, memang saya berdoa setiap hari untuk para sukarelawan agar mereka selamat pergi dan balik,”
katanya.

Aktivis Malaysia yang ditahan ialah Musa Nuwayri, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Luqman, Hareez Adzrami, Danish Nazram, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi, Rusydi Ramli, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khairudin.

Malah terdapat pengamal media, pendakwah bebas dan selebriti turut bersama dalam misi, antaranya Zainal Rashid Ahmad, Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.

Sebelum ini media melaporkan, mereka merupakan antara 42 flotila terdiri daripada 201 aktivis dari 36 buah negara yang telah ditahan dan ditempatkan di penjara Ketziot yang merupakan pusat tahanan imigresen Israel.

Kesemua mereka dibebaskan pada 4 Oktober selepas menandatangani surat pelepasan segera dan diterbangkan dari Lapangan Terbang Ramon dan tiba di Istanbul pada hari yang sama.

Himpunan Sumud Nusantara bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 Oktober bagi meraikan pengorbanan para sukarelawan GSF yang telah berusaha menembusi sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap penduduk di Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan para sukarelawan terbabit sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara, yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengenal sempadan.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad berkata jumlah kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza kini mencecah 67,139 orang, manakala 169,583 lagi dilaporkan cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel tercetus pada 7 Oktober 2023.

Tambahnya, dalam tempoh 24 jam terakhir, serangan tentera Israel di Gaza mengorbankan 65 penduduk Palestin dan mencederakan 153 yang lain.

Kementerian itu turut melaporkan satu lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh sehari yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat kekurangan zat kepada 460 orang, termasuk 154 kanak-kanak.

Sejak keadaan kebuluran di Semenanjung Gaza diisytiharkan secara rasmi, sebanyak 182 kematian telah direkodkan, termasuk 39 kanak-kanak.




#Global Sumud Flotilla #sambut ketibaan #KLIA #Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia