TANJUNG MALIM: Rakyat Malaysia hanya meluangkan masa tidak lebih tiga jam seminggu untuk membaca, demikian dapatan yang diperoleh hasil daripada kajian yang dibuat.

Peruntukan masa itu jauh lebih rendah berbanding rakyat India yang memperuntukkan 10 jam untuk membaca dalam tempoh yang sama.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menasihatkan ibu bapa agar meluangkan lebih banyak masa membaca bersama anak-anak dengan harapan amalan itu menjadi tabiat sehingga mereka dewasa kelak.

Timbalan Menterinya, Datuk Mah Hang Soon berkata, langkah itu mampu memupuk minat membaca di kalangan pelajar sekolah bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan.

"Secara puratanya rakyat Malaysia membaca tiga jam dalam satu minggu berbanding India 10 jam dan Thailand serta China lapan jam seminggu, jadi kita kena pertingkatkan lagi usaha," katanya.

Hang Soon berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Buku Kepada Sekolah-Sekolah Daerah Batang Padang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hua 2, Bidor, di sini, hari ini.

Menurutnya, sumbangan bahan bacaan kepada sekolah-sekolah juga merupakan salah satu inisiatif KPM dalam menggalakkan murid-murid untuk menjadikan amalan membaca sebagai tabiat.

Katanya, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan sejak dahulu lagi turut membantu menggalakkan pelajar sekolah membaca buku yang ada di perpustakaan.

Dalam majlis itu, lebih 10,000 naskhah buku diagihkan kepada 82 buah sekolah melibatkan 16 sekolah menengah dan 66 sekolah rendah di daerah Batang Padang.