KUALA LUMPUR: Kesan perubahan iklim semakin dirasai di Malaysia yang kini mengalami fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas yang membahang serta penurunan suhu di kawasan-kawasan tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Situasi ini mencetuskan pelbagai bencana seperti banjir, termasuk banjir kilat, pada skala besar serta kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara tanpa mengira musim.

Ketika laporan ini ditulis (9 Mac), beberapa negeri sedang dilanda banjir dengan paling buruk di Johor yang menyaksikan lebih 50,000 penduduk terpaksa dipindahkan. Sekitar 40,000 orang dilapor masih berada di pusat pemindahan di negeri itu buat masa ini.

Bencana bah ini mengakibatkan negara mengalami kerugian ratusan juta ringgit. Pada 2022 misalnya, Malaysia merekodkan kerugian berjumlah RM622.4 juta, iaitu menyamai 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Hujan lebat yang berterusan turut berkecenderungan mencetuskan kejadian tanah runtuh seperti tragedi di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas yang mengorbankan 31 nyawa.




AMBIL MUDAH KESAN PERUBAHAN IKLIM

Umumnya, perubahan iklim berlaku disebabkan proses dinamik bumi termasuk pemanasan global atau peningkatan suhu bumi, dan kajian terbaharu menunjukkan fenomena ini, sebahagian besarnya diakibatkan oleh kegiatan manusia.

Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC), 98 peratus punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang dilakukan sejak abad ke-18 serta lain-lain gas rumah hijau (GHG). Perubahan guna tanah juga turut dinyatakan sebagai penyumbang kepada pelepasan gas itu.

Pakar dan aktivis alam sekitar telah berulang kali menyuarakan kebimbangan mereka tentang isu pemanasan global, yang mana dilaporkan jika suhu meningkat sebanyak 1.5 darjah Celsius lebih tinggi berbanding era sebelum Revolusi Perindustrian, dunia akan mengalami kesan yang amat serius termasuk cuaca ekstrem.

Malaysia tidak terkecuali, dan menurut laporan Kumpulan Bank Dunia 2021 tentang risiko iklim, negara ini diunjur mengalami peningkatan suhu purata sebanyak 0.8 hingga 3.11 darjah Celsius menjelang era 2090-an.

Sekalipun kesan perubahan iklim ini sering diuar-uar dengan bukti pula di depan mata, mengapa masyarakat, khususnya di Malaysia, seakan tidak ambil peduli?



Penyelidik daripada Hab Penyelidikan Perubahan Iklim dan Komunikasi Monash (MCCCRH) Cawangan Malaysia Dr Azliyana Azhari berkata kebanyakan rakyat Malaysia mahu mengurangkan pelepasan GHG namun mereka kurang yakin dengan tindakan iklim yang mahu diambil.

"Kami jalankan satu tinjauan dari Julai hingga Ogos 2022, melibatkan 1,063 responden berusia 18 tahun ke atas bagi mengukur tahap kesedaran serta kebimbangan mereka tentang perubahan iklim.

"Daripada jumlah itu, 97 peratus sedar perubahan iklim sedang berlaku dan lebih 80 peratus pula berpendapat fenomena tersebut membimbangkan. Mereka percaya negara perlukan satu dasar dalam masa terdekat bagi menangani impak perubahan cuaca.

"Bagaimanapun, majoriti daripada mereka tidak tahu apa yang boleh mereka lakukan bagi menyelesaikan isu perubahan iklim ini," kata Felow Penyelidik Pascakedoktoran itu kepada Bernama.

MCCCRH Cawangan Malaysia merupakan institut penyelidikan yang ditubuhkan pada 2021 bagi mengkaji komunikasi perubahan iklim. Ia diterajui oleh Sekolah Seni dan Sains Sosial Universiti Monash Malaysia dengan kerjasama MCCCRH Australia.

Mengulas lanjut, pakar itu berkata 45 peratus responden, walaupun percaya manusia boleh mengurangkan perubahan iklim, tidak yakin masyarakat bersedia mengubah sikap mereka,

"Hanya 10 peratus responden benar-benar optimis bahawa manusia boleh mengurangkan perubahan iklim dan kita akan melakukannya dengan jaya," katanya.

Azliyana yang mengetuai tinjauan itu, berkata mereka juga mendapati rata-rata rakyat Malaysia bukan sahaja tahu tentang perubahan iklim tetapi juga berpendapat ia sesuatu yang menuntut tindakan segera daripada penggubal dasar dan setiap individu.




TINDAKAN IKLIM

Berdasarkan laporan awal MCCCRH berhubung 'Kebimbangan dan Kelakuan tentang Perubahan Iklim serta Sikap Media', 60 peratus responden percaya Malaysia wajar mengurangkan pelepasan GHG tanpa mempedulikan langkah yang diambil oleh negara lain.

Kira-kira 86 peratus pula sangat bersetuju agar pengurangan penggunaan tenaga dijadikan mandatori sekiranya langkah itu dapat mengurangkan perubahan iklim, selain memberikan insentif kepada mereka yang mengambil tindakan iklim.

Azliyana berkata bagaimanapun kebanyakan rakyat Malaysia hanya melaksanakan langkah iklim sekiranya mereka diberikan pengiktirafan atau insentif.

Antara tindakan iklim yang popular ialah mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di rumah, kitar semula, membawa beg guna semula ketika membeli barang dapur serta bertukar kepada produk mesra alam.

"Bagaimanapun semua ini dilakukan secara bersyarat. Rata-rata rakyat Malaysia tidak akan menolak peluang menikmati faedah seperti diskaun, hadiah percuma atau mengumpul mata yang boleh digunakan untuk membeli-belah.

"Hanya segelintir sahaja yang bersedia mengamalkan tindakan iklim tanpa mengharapkan balasan," ujar beliau, menambah sekalipun kebanyakan responden bersetuju kerajaan wajar memberikan insentif, 60 peratus daripada mereka percaya setiap orang boleh memainkan peranan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.



AKSES KEPADA DATA

Amat penting untuk orang ramai memahami perubahan iklim, namun buat masa ini masyarakat berdepan cabaran dalam mengakses data yang boleh membantu mereka bersedia menghadapi impak fenomena itu.

Di mana mereka boleh dapatkan data seperti kawasan berisiko banjir atau unjuran taburan hujan di satu-satu kawasan?

Ketua projek MyIKLIM Database, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Maggie Ooi Chel Gee berkata pengumpulan data tempatan bagi mengunjurkan keadaan iklim untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang amat penting.

"Kita masih bergantung pada data global dan kerja-kerja yang kita lakukan hanyalah berbentuk tanggapan bersandarkan data tersebut.

"Malah, data tempatan yang disediakan oleh agensi berkaitan juga dihadkan akses kepada orang ramai. Sesetengah data hanya dibuka kepada sarjana bagi tujuan penyelidikan, namun data yang ada juga tidak semuanya sama," jelas beliau.

Ooi yang juga pensyarah kanan Institut Perubahan Iklim UKM dan merupakan pakar dalam pemodelan kualiti udara, berkata atas faktor itulah MyIKLIM Database dilancarkan sebagai portal kurasi data sehenti bagi perubahan iklim di Malaysia pada 10 Jan yang lalu.

Katanya wujud keperluan untuk menyediakan data terbuka sebagai alat yang menggalakkan sains warganegara, iaitu data dikumpulkan menerusi maklumat orang ramai dan dianalisis oleh pakar.

"Semua data di portal kami, http://myiklimysd.ukm.my/ boleh diakses secara percuma dan dikurasi untuk orang awam memahami perubahan iklim, menggalakkan keterlibatan mereka dan mendorong tindakan iklim.

"Portal ini juga menawarkan maklumat terperinci tentang pelepasan GHG di negara ini, peta litupan tanah bagi Semenanjung Malaysia, kawasan berisiko tinggi kebakaran, unjuran iklim pada masa depan, data satelit yang diproses dan banyak lagi.

"Kami hasilkan semua ini menerusi kerjasama dengan beberapa agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran," kata beliau, menambah lebih banyak peranti pendidikan seperti kalkulator jejak karbon dan stimulator pencapaian net zero (mengurangkan pelepasan GHG sehampir mungkin dengan sifar) akan dimasukkan ke portal itu dalam masa terdekat.

Menurut beliau, setakat ini portal itu mempunyai 10 set data yang diarkib.

Katanya, sebagai sebuah negara tropika, proses meramal cuaca di Malaysia adalah sukar, khususnya berhubung taburan hujan.

"Bagaimanapun, penggemblengan beberapa teknologi pemodelan berbeza boleh membantu dalam membuat ramalan. Ini akan membolehkan kita menentukur kualiti unjuran iklim berdasarkan pelbagai tahap pengurangan pelepasan GHG," katanya.

Beliau berharap lebih banyak agensi yang akan menyusuli langkah UKM dengan menyediakan data terbuka kepada umum agar dapat membantu orang ramai mengambil langkah perlu dalam mengurangkan impak akibat fenomena itu ke atas mereka.

"Kita sudahpun melihat kesan perubahan iklim melalui kejadian banjir dan tanah runtuh. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim serta mengambil langkah kukuh berdasarkan data yang disediakan," tambah beliau.

-- BERNAMA