Rakyat Malaysia tidak perlu panik dengan pemeriksaan, pengawasan ketat Indonesia - Duta

Bernama
Julai 12, 2016 00:00 MYT
ZAHRAIN: Wisma Putra telah meminta penjelasan Kementerian Luar Indonesia berhubung perkara ini dan kini menanti jawapan dari mereka. - Gambar fail
Rakyat Malaysia tidak perlu panik dengan kenyataan pihak berkuasa Indonesia mengenai pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh ke atas rakyat Malaysia dan Singapura baru-baru ini.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pemeriksaan ketat dan menyeluruh di lapangan terbang adalah prosedur biasa kawalan keselamatan.
"Bagaimanapun, Wisma Putra telah pun meminta penjelasan daripada Kementerian Luar Indonesia berhubung perkara ini dan kini menanti jawapan dari mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sabtu lepas, Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi dilaporkan berkata, tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua negara berkenaan.
Beliau berkata pihaknya menunggu surat rasmi arahan daripada Kementerian Perhubungan untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-dua negara berkenaan.
PT Angkasa Pura II merupakan syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia.
#Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim #lapangan terbang Indonesia #pemeriksaan ketat dan menyeluruh #rakyat Malaysia tidak perlu panik