MALAYSIA

Rakyat perlu teladani akhlak, peribadi dan perjuangan Rasulullah - Sultan Selangor

Bernama 05/09/2025 | 07:00 MYT
Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul 1447H kepada seluruh umat Islam. - Facebook Selangor Royal Office
SHAH ALAM: Sambutan Maulidur Rasul yang raikan setiap tahun bukan sahaja bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah lebih penting untuk meneladani akhlak, peribadi dan perjuangan baginda.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam semua aspek kehidupan termasuk sebagai seorang pemimpin, pendidik, suami, bapa dan juga sahabat.

"Dalam suasana dunia yang penuh cabaran hari ini, umat Islam harus kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dengan menghidupkan sunah baginda dalam keluarga, masyarakat dan negara. Hormatilah sesama insan, jauhilah perpecahan dan semaikanlah kasih sayang serta persaudaraan.

"Semoga dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW, kita menjadi umat yang berakhlak mulia, beriman teguh dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan negara," titah Sultan Selangor yang turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Maulidur Rasul 1447H bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin kepada seluruh umat Islam.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa syukur kerana seluruh rakyat diberi kesempatan untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul tahun ini dan mengajak mereka untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai tanda cinta dan penghormatan terhadap Rasulullah.

-- BERNAMA

#Sultan Sharafuddin Idris Shah #Nabi Muhammad SAW #Sultan Selangor #Maulidur Rasul