KUALA LUMPUR : Kerajaan Sabah mengambil keputusan untuk membenarkan rakyatnya yang melakukan perjalanan bagi tujuan umrah dan ke luar negara sebelum 28 Disember 2021, boleh meneruskan perjalanan masuk ke negeri itu dengan syarat ujian RT-PCR yang dijalankan di Kuala Lumpur adalah negatif.

Bagaimanapun, menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, rakyat yang kembali ke negeri itu selepas melakukan perjalanan dalam tempoh yang ditetapkan masih perlu melalui kuarantin sebaik sahaja tiba di Sabah. 

"Kerajaan Sabah akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar untuk mereka menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah (warganegara Malaysia) yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021.

"Kerajaan negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada mereka yang disahkan positif dan perlu menjalani tempoh kuarantin wajib tujuh atau 10 hari di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menyelaraskan perkara itu melalui Yayasan Kebajikan Sabah bersama Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur bagi tujuan tersebut.

"Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya adalah ditangung oleh para jemaah umrah atau agen pelancongan umrah masing-masing.

"Agen pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuklah penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan. Manakala, kos kuarantin seperti penginapan bagi rakyat Sabah yang pulang kembali dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri," ujar beliau dalam kenyataan sama.

Menurut beliau lagi, syarat-syarat kuarantin adalah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Sabah dari semasa ke semasa.

"Walau bagaimanapun, kemasukan individu ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat pihak berkuasa negeri sedia ada," katanya.