BETONG: Selepas 59 tahun penubuhan Malaysia, rakyat negara ini seharusnya tidak lagi mempersoalkan keistimewaan dan hak Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan apa yang sewajarnya diraikan ialah menghormati apa yang telah dipersetujui para pemimpin terdahulu.

“Semua maklum, negara ini terbentuk apabila tiga wilayah bersetuju untuk bergabung menjadi sebuah negara berdasarkan Perjanjian MA63 dan Inter-Government Committee Report (IGC) yang memberi keistimewaan kepada wilayah Sarawak dan juga Sabah,” katanya.

Beliau berucap pada Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalung Ningkan, di sini pada Rabu.

Lebih 1,000 rakyat Betong menghadiri majlis sambutan berkenaan yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta Timbalan Premier Sarawak dan para pemimpin peringkat akar umbi seluruh negeri.

Tambah Abang Johari, Sarawak menuntut supaya hak dan keistimewaannya dihormati dan diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan tetapi bukan bermakna rakyatnya tidak mempunyai semangat kebangsaan dan patriotisme yang tinggi.

“Anak Sarawak dalam arena sukan seperti Pandelela Rinong dan Gustin Bonnie Bunyau berjuang bermatian-matian agar lagu kebangsaan kita Negaraku boleh berkumandang di arena antarabangsa.

“Orang Sarawak juga berbangga apabila pemain badminton beregu negara, iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi kejohanan dunia di Tokyo tiga hari yang lepas,” ujarnya.