Rakyat Sarawak yang pulang ke negeri itu perlu jalani kuarantin

Astro Awani
April 20, 2020 10:50 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyatakan keperluan bagi semua rakyat Sarawak yang tiba dari luar untuk menjalani kuarantin bagi menghentikan penularan COVID-19. -Gambar Arkib
Rakyat Sarawak yang baru pulang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di destinasi ketibaan mereka.
Destinasi itu termasuk di ketibaan domestik di negeri tersebut iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Isnin.
Menurut Uggah, sampel akan diambil menggunakan kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) swab pada hari ketujuh dan keputusannya akan diperhatikan.
Ujar beliau, sekiranya keputusan adalah negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan perlu menyambung kuarantin di rumah masing-masing.
“Yang pertama kita ada kes di mana seorang mangsa dari Indonesia yang melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), kes positifnya direkodkan di Kuching. Di Miri terdapat seorang juga yang baharu pulang dari luar negara dan didapati positif
“Manakala, satu kes dia baharu pulang dari Kuala Lumpur. Bayangkan jika ketiga-tiga mereka tidak dikuarantin, mereka boleh menyebabkan huru-hara,” katanya.
Tambahnya, semua penumpang domestik (dalam Sarawak) dikehendaki mengisi borang E-Health Declaration yang disediakan di laman web www.sdmc.sarawak.gov.my. untuk tujuan rekod.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama beliau turut memberi jaminan bahawa tiada penceroboh dibenarkan memasuki negeri itu walaupun melalui laluan tikus.
Tegasnya, perkara itu dipandang serius di mana isu berkenaan melibatkan kemasukan warga Indonesia ke Sarawak akibat impak penularan wabak COVID-19 di negara tersebut.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID-19 #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #E-Health Declaration #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri JPBN Sarawak #Polymerase Chain Reaction PCR #SDMC