Seorang rakyat Singapura yang menyusuri Hutan Lipur Gunung Pulai maut pagi Ahad akibat tergelincir.

Mangsa dikenali sebagai David Cho Kah Loong, 49.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Razak Md Said berkata Cho bersama isterinya Chua Soo Hooi, 46, dan anak perempuan mereka Rachel Chooi Chen Xin, 7, masuk ke hutan tersebut kira-kira 7.45 pagi bersama seorang rakan wanita dan anak perempuannya.

Beliau berkata semua mereka sedang berehat di tepi tebing bukit kira-kira 12.45 tengah hari apabila Chooi tergelincir dan cuba diselamatkan oleh ibu bapanya.

"Namun Cho juga tergelincir ke bawah bukit dan cedera parah.

"Isterinya kemudian bertindak turun ke bawah bukit dan meminta pertolongan orang kampung," katanya.

Razak berkata kira-kira pukul 2.15 petang, pihak bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan anggota paramedik Hospital Kulai tiba di tempat kejadian dan membawa kesemua mangsa turun ke bawah.

"Namun Cho kemudiannya disahkan meninggal dunia kerana cedera parah di kepala, belakang badan, muka dan dadanya," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai manakala Chua dan Chooi yang cedera dirawat sebagai pesakit luar.