Malaysia sedang berunding dengan kerajaan India supaya menarik balik sekatan terhadap kemasukan penerbangan Malaysia buat sementara bagi membolehkan 274 rakyat negara ini dibawa pulang.

Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, K Saravanan berkata, semalam (Selasa, 17 Mac) kerajaan India mengenakan sekatan kemasukan kepada semua penerbangan dari Malaysia, Filipina dan Afghanistan sehingga 31 Mac ini dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

Ekoran pengumuman itu katanya, terdapat rakyat Malaysia di sana tidak dapat pulang.

"Kami sedang berusaha untuk membolehkan rakyat kita kembali ke Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberi jaminan untuk membawa kesemua 274 rakyat Malaysia yang terkandas itu menaiki pesawat khas dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kos perjalanan itu akan ditanggung oleh MIC dan beberapa ahli perniagaan.

Sejak Selasa, rakaman klip video memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia melakukan bantahan di sebuah lapangan terbang dipercayai Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli, tersebar di media sosial.

Turut kelihatan, seorang lelaki berpakaian seragam yang memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia menghentikan semua penerbangan masuk ke negara itu.

Salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas memaklumkan mereka sepatutnya menaiki pesawat untuk pulang pada 13 Mac, sebelum dimaklumkan penerbangan mereka ditunda kepada 15 Mac dan kemudian kepada 17 Mac.

Selain itu, mereka juga mendakwa, tidak dibenarkan mendaftar masuk ke mana-mana hotel disebabkan status sebagai rakyat Malaysia, sekali gus menyebabkan kumpulan itu terkandas di lapangan terbang berkenaan.

Sehingga Rabu, 153 kes COVID-19 dilaporkan di India dengan tiga kematian. Sebanyak 12 daripadanya adalah kes baharu.