MALAYSIA

Rakyat terus nikmati bekalan tenaga, air mampu bayar sejajar Reformasi MADANI - Fadillah

Bernama 04/12/2025 | 02:00 MYT
Fadillah berkata dalam tempoh tiga tahun agenda MADANI, sektor tenaga dan air merekodkan pelbagai pencapaian meliputi peralihan tenaga, penetapan tarif, kecekapan tenaga dan pembaharuan dasar. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Usaha berterusan kerajaan menerusi pelaksanaan reformasi struktur dan dasar di bawah pentadbiran Malaysia MADANI memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik, air dan pembetungan pada kadar mampu bayar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Malaysia MADANI meneruskan usaha reformasi struktur dan dasar untuk memastikan rakyat menikmati bekalan elektrik, air, dan pembetungan pada kadar mampu bayar.
  • Pelan Strategik PETRA 2026-2030 dilaksanakan untuk memacu tadbir urus sektor tenaga dan air demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
  • Kejayaan program seperti LSS PETRA 5 dan 5, NEM 3.0, dan MyBEST di sektor tenaga serta AIR2040, tarif air baharu, dan program NRW di sektor air menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kecekapan, keberkesanan, dan kelestarian bekalan tenaga dan air di negara ini.


Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kementeriannya memainkan peranan penting dalam memacu tadbir urus sektor tenaga dan air agar berkembang secara mampan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

"Sepanjang hampir dua tahun menerajui PETRA, banyak pencapaian dapat direkodkan. Yang paling jelas ialah rakyat masih menikmati bekalan elektrik, air dan pembetungan pada kadar mampu bayar, manakala golongan miskin terus dibantu melalui subsidi seperti Rebat Bil Elektrik RM40," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Bernama sempena Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Dis ini di Dataran Putrajaya.

Menurut Fadillah, pencapaian PETRA turut dipacu melalui penglibatan berterusan bersama pemegang taruh serta peningkatan lawatan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan projek mencapai sasaran ditetapkan.

Beliau bagi memacu pencapaian PETRA secara lebih objektif dan berkesan, sebuah Pelan Strategik PETRA 2026-2030 dilakar, berasaskan dasar nasional seperti Malaysia MADANI, Kerangka Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Agenda Pembangunan Mampan.

Hala tuju PETRA turut diperkukuh melalui dasar sedia ada seperti Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (2016-2025), Pelan Transformasi Sektor Air (AIR 2040) dan Pelan Tindakan Pembetungan Negara 2024-2035.

Fadillah berkata dalam tempoh tiga tahun agenda MADANI, sektor tenaga dan air merekodkan pelbagai pencapaian meliputi peralihan tenaga, penetapan tarif, kecekapan tenaga dan pembaharuan dasar.

"Antara kejayaan utama ialah Program Solar Berskala Besar (LSS PETRA 5 dan 5+) yang menjana 3.9 gigawatt (GW) tenaga boleh baharu dengan pelaburan RM12 bilion, selaras sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 di bawah NETR," katanya.

Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 pula menyalurkan kapasiti solar 2,500 megawatt (MW) kepada pengguna, manakala Skim Solar Atap membolehkan pengguna menjana elektrik sendiri dan menerima kredit tenaga bagi lebihan yang disalurkan ke grid nasional.

PETRA bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) turut melaksanakan bidaan terbuka Projek Penyimpanan Tenaga (MyBEST) bagi menjamin kestabilan grid seiring peningkatan penjanaan tenaga boleh baharu serta memperkenalkan struktur tarif elektrik baharu berasaskan prinsip "user pay" berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Struktur tarif elektrik baharu itu memberi impak minimum kepada 85 peratus pengguna domestik selain menawarkan insentif kecekapan tenaga kepada pengguna domestik serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) juga diperkenalkan bagi menggantikan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), membolehkan pelarasan kos bahan api dibuat setiap bulan berbanding enam bulan sebelumnya," katanya.

Dalam sektor air, Fadillah berkata kerajaan di bawah agenda MADANI berjaya meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654) bagi memperkukuh kawal selia, memperberat hukuman pencemaran serta meningkatkan kecekapan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Pindaan ini membina ekosistem perundangan yang menyeluruh, bermula daripada kuasa kawal selia hingga penguatkuasaan hukuman, sekali gus memastikan perkhidmatan bekalan air yang lebih cekap, berintegriti dan berfokus kepada kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata PETRA turut memperkenalkan Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) bagi menjadikan Malaysia hab air serantau dan global menjelang 2040, selain melaksanakan pelarasan tarif air baharu berkuat kuasa 1 Ogos lalu termasuk tarif khas untuk pusat data.

Fadillah berkata Program Air Tidak Terhasil (NRW) diperluas dengan pembiayaan RM2.53 bilion bagi tempoh 2025-2030 bagi menurunkan kadar NRW daripada 34.3 peratus pada 2024 kepada 28.8 peratus menjelang 2030 bagi menjamin kecekapan pengurusan air.

Beliau berkata PETRA turut memperkukuh ketahanan infrastruktur tenaga dan air bagi menghadapi cuaca ekstrem melalui penggunaan teknologi Flood Analysis and Risk Assessment (FARA) serta menaik taraf Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mempercepat projek tebatan banjir dengan reka bentuk berasaskan data ramalan hujan masa hadapan serta menaik taraf Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang kini mampu meramal banjir seawal tujuh hari lebih awal.

Beliau berkata kerajaan turut menggalakkan penggunaan air pulih guna bagi sektor pusat data yang berkembang pesat dengan Johor menjadi negeri perintis dengan projek bersama Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW) yang memproses efluen terawat untuk sistem penyejukan pusat data seperti Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology.

Katanya pelaburan besar oleh Amazon Web Services (AWS) turut menyokong pendekatan tersebut selaras dengan komitmen global syarikat itu untuk menjadi "Water Positive" menjelang 2030 dengan pusat data AWS di Selangor dan Negeri Sembilan turut menggunakan air pulih guna sebagai sumber alternatif bagi operasi penyejukan.

-- BERNAMA





#Reformasi MADANI #bekalan elektrik #air #kadar mampu bayar