SHAH ALAM: Bulan Ramadan merupakan waktu untuk umat Islam mempertingkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, namun kebelakangan ini telah bertukar menjadi musim pembaziran serta pemborosan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, budaya negatif itu bercanggah dengan tujuan unggul di sebalik kefarduan ibadat puasa iaitu untuk menyuburkan rohani seorang Muslim.

“Saya tidak nafikan makanan dan minuman merupakan keperluan asas bagi kehidupan manusia, namun agama Islam amat menekankan keperluan untuk mendidik dan melatih rohani menerusi pelbagai ibadat fardu dan sunat.

“Ini kerana pengambilan makanan dan minuman secara berlebihan akan menyempitkan peluang untuk pembangunan rohani dan penyuburannya,” kata Wan Salim.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai laporan akhbar mengenai anggaran perbelanjaan sepanjang Ramadan dianggarkan mampu mencecah RM30 bilion termasuk perbelanjaan di bazar Ramadan, restoran dan hotel, selain pembaziran sebanyak 90,000 tan makanan pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Wan Salim turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa meneladani keperibadian Rasulullah SAW termasuk dalam adab makan dan minum.

Menurutnya, baginda telah menunjukkan bahawa adab berkenaan mampu meninggikan nilai peribadi berbanding umat-umat agama lain.

“Antara lain baginda bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud, tiada perbuatan lebih buruk (membahayakan) bagi anak Adam seperti mana ia memenuhi perutnya (dengan makanan berlebihan).

“Cukuplah untuk seorang anak Adam hanya beberapa suap makanan sekadar menegakkan tubuhnya, namun jika tidak dapat (untuk makan melebihi kadar tersebut) maka hendaklah dia bahagikan perutnya kepada tiga bahagian.

“Sebahagian untuk makanan, sebahagian lagi minuman dan yang terakhir ialah pernafasan (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidhi),” ujarnya. - Sinar Harian