Ramalan banjir: Lebih 5,000 anggota, pegawai bomba diarah siap siaga - Reezal

Astro Awani
Disember 29, 2021 12:37 MYT
Kesiapsiagaan merangkumi 2,817 Pegawai Bomba (PSM), 628 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 2,080 Pasukan Bomba Sukarela (PBS). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sejumlah 5,525 pegawai dan anggota bomba diletakkan dalam keadaan siap siaga susulan amaran banjir yang melibatkan empat negeri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia merangkumi 2,817 Pegawai Bomba (PSM), 628 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan 2,080 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
"Di Johor terdapat 1,889 anggota melibatkan 33 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pahang (1,660 anggota) melibatkan (26 BBP), Terengganu (964 anggota) melibatkan (17 BBP) dan Kelantan (1,012 anggota) melibatkan (21 BBP)," memetik kenyataan yang dikongsikan beliau di media sosial.
Katanya, kesiapsiagaan termasuk persiapan logistik meliputi 164 kenderaan marin, 45 kenderaan angkut dan 121 kenderaan utiliti.
BACA: Amaran banjir: Negeri, daerah diarah tingkat kesiapsiagaan
Arahan itu dikeluarkan beliau susulan maklumat ramalan awal yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang berkemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di empat buah negeri bermula 31 Disember sehingga 1 Januari 2022.
Antara kawasan yang diramal akan banjir adalah sekitar kawasan sungai iaitu Johor (Sungai Mersing), Kelantan (Sungai Kelantan, Sungai Golok), Pahang (Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Rompin) dan Terengganu (Sungai Besut, Sungai Terengganu, Sungai Dungun).
#Reezal Merican Naina Merican #ramalan banjir #bantuan banjir #bencana banjir