Ramalan dan amaran banjir akan diumumkan tujuh hari lebih awal, berbanding sehari sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyaluran maklumat lebih awal itu akan membolehkan rakyat membuat persiapan dan bersedia untuk berdepan bencana itu lebih awal.

"Pengumuman ramalan itu akan dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam usaha mengurangkan risiko keselamatan nyawa, kerosakan harta benda, infrastruktur serta kemudahan awam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di sini hari ini.

Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata bermula tahun ini, Oktober telah dipilih sebagai Bulan Kesiapsiagaan Negara dalam menghadapi bencana banjir susulan jangkaan fenomena La Nina akan berlaku mulai Ogos hingga Oktober dan dijangka berakhir pada suku pertama tahun depan.

“Oktober diisytihar sebagai bulan kesiapsiagaan negara. Simulasi untuk pengurangan risiko bencana juga dapat dilakukan. Penggemblengan semua pihak terlibat dibuat lebih awal supaya kita dapat elakkan jika sesuatu risiko terlalu tinggi.

“Kita (kerajaan)hendak memberi kesedaran kepada pihak awam tanpa mengira pandangan politik. Ia adalah pertanggungjawaban bahawa semua rakyat diberi perindungan daripada bencana,” katanya.

Menurutnya lagi, sistem amaran awal yang akan disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran itu diharap dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa, di samping memastikan pengurusan bencana yang lebih berkesan di seluruh negara.

Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pengurangan risiko bencana mengikut Kerangka Sendai yang digariskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai kaedah pengurusan bencana alam yang lebih berkesan.

Di majlis yang sama, Datuk Seri Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang mendapat pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag) yang bernaung di bawah PBB.