Skip to main content

Malaysia

Ramanan kecewa pembangkang tidak sokong RUU Had Tempoh Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 5 Mac -- Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (tengah) bergambar bersama para penerima sumbangan pada Majlis Iftar Kesuma PERKESO Lindung 2026 di sebuah hotel hari ini.  Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramanan (tengah) bergambar bersama para penerima sumbangan pada Majlis Iftar Kesuma PERKESO Lindung 2026 di sebuah hotel pada Khamis. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pembangkang yang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026  bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau berkata RUU itu seharusnya disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan agenda reformasi untuk negara. 

Advertisement

“Seharusnya berilah sokongan untuk usaha memajukan negara, membangunkan negara… sokonglah reformasi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di sini pada Khamis.

Ramanan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar KESUMA Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Lindung 2026, yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pada Isnin lepas, RUU berkenaan tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dengan keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Pindaan Perlembagaan itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Semalam, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat seterusnya Jun ini. 

Perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri. 

Terdahulu, Ramanan menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat PERKESO berjumlah lebih RM500,000 kepada rakyat dan komuniti yang memerlukan, dengan lebih RM300,000 daripadanya disalurkan kepada 15 penerima di bawah program LINDUNG Pekerja, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.

-- BERNAMA

Must Watch Video