MALAYSIA

Ramanan komited terus kesinambungan dasar perkukuh kebajikan pekerja

Umavathi Ramayah 18/12/2025 | 07:17 MYT
R Ramanan memulakan tugasnya sebagai Menteri Sumber Manusia pada Khamis. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Datuk Seri R Ramanan yang memulakan tugasnya sebagai Menteri Sumber Manusia pada Khamis, menegaskan komitmennya untuk meneruskan kesinambungan dasar yang digerakkan menteri terdahulu dengan meletakkan kebajikan pekerja sebagai teras utama hala tuju kementerian.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri R Ramanan menegaskan komitmen untuk meneruskan dasar kebajikan pekerja sebagai fokus utama kementerian.
  • Kementerian Sumber Manusia akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi perlindungan sosial menyeluruh 24 jam.
  • Rangka perlindungan baru ini akan meliputi keadaan pekerja di luar waktu bekerja, memberi penekanan kepada kesan kemalangan selepas waktu kerja terhadap pekerja dan keluarga mereka.


Beliau berkata, selaras dengan pendekatan yang digerakkan sebelum ini, kementerian akan membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi memperkenalkan satu kerangka perlindungan sosial menyeluruh 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Ramanan, cadangan pindaan itu berteraskan keperluan melindungi pekerja secara menyeluruh, khususnya dalam situasi di luar waktu bekerja yang ketika ini tidak diliputi sepenuhnya oleh skim perlindungan sedia ada.

"Pada masa ini, kebanyakan pekerja mempunyai perlindungan insurans atau polisi yang meliputi kemalangan semasa waktu bekerja.

"Namun, persoalannya ialah siapakah yang akan membantu sekiranya kemalangan berlaku selepas waktu kerja, ketika bercuti atau dalam perjalanan pulang ke rumah?

"Lebih membimbangkan, kesan kejadian sedemikian sering ditanggung oleh keluarga mangsa, termasuk dari segi beban kewangan dan kelangsungan hidup sekiranya pekerja terbabit mengalami kecacatan kekal atau meninggal dunia.

"Tidak seorang pun yang boleh membantu mereka atau menanggung beban yang mereka hadapi, mungkin dua bulan, empat bulan atau enam bulan selepas itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Sumber Manusia di pejabatnya, di sini, pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan langkah itu akan dilaksanakan melalui pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Lindung 24/7, yang merupakan inisiatif terbaharu di bawah LINDUNG Pekerja oleh Perkeso.

Ramanan yang sebelum ini memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi tiba di Ibu Pejabat Kementerian Sumber Manusia pada jam 9.07 pagi sebelum melakukan simbolik mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda rasmi memulakan tugas.






#perkeso #r ramanan #Menteri Sumber Manusia #kebajikan pekerja