Ramli cadang buka kuota Orang Asli masuk ke MRSM, SBP

Bernama
Mac 1, 2024 10:00 MYT
Ramli ketika membentangkan sesi libat urus bertajuk "Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli" pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan dicadang membuka sekurang-kurangnya lima peratus kuota kemasukan pelajar Orang Asli ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor berkata ini kerana ketika ini, pengambilan pelajar Orang Asli ke MRSM dan SBP adalah secara rawak dan tidak melibatkan sebarang kuota.
"Saya merayu buka pintu MRSM (dan SBP) kepada kami (masyarakat Orang Asli)...saya tahu di asrama penuh, anda boleh mendidik Orang Asli untuk menjadi seseorang. Dari situ Orang Asli boleh berkembang dan berada di hadapan.
"Bila ada pendidikan dan pendedahan, anda akan lebih berkeyakinan... Saya antara Orang Asli pertama yang dididik dan dibentuk di sekolah berasrama penuh pada 1971," katanya ketika membentangkan cadangan itu pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini hari ini.
Pada masa sama, Ramli yang juga wakil rakyat Orang Asli berkata masyarakat Orang Asli juga perlu sentiasa berusaha untuk terus maju dan mengubah pemikiran kebergantungan kepada bantuan kerajaan atau mentaliti subsidi.
"Kerajaan sudah bagi semua ...jadi untuk maju, kita kena tukar mentaliti. Ini tiada siapa boleh buat melainkan kita sendiri...pastikan anak-anak kita pergi sekolah.
"Selain itu, aktiviti negatif tolong kurangkan. Kita tidak mahu jadi satu bangsa yang malas dan mengharapkan subsidi saja, kita kena berubah... paling mudah (dengan) pendidikan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata Pahang dijangka mewujudkan Felda pertama untuk Orang Asli bagi memperkasa aktiviti ekonomi masyarakat minoriti tersebut.
Justeru, beliau berkata negeri lain juga diharap dapat melaksanakan cadangan inisiatif berkenaan terutama negeri yang mempunyai populasi Orang Asli yang tinggi.
"Insya-Allah, kalau betul perancangan dengan dana negeri Pahang, Felda pertama Orang Asli akan wujud di Pahang. Negeri lain yang banyak Orang Asli ini buka lah satu. Benda ini diperlukan dan relevan.
"Felda berjaya membangkitkan sosioekonomi orang Melayu, saya harap Menteri Besar Perak, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan lain-lain, ambil (pendekatan ini) dan tolonglah kami (Orang Asli)," katanya.
-- BERNAMA
#KEB 2024 #kuota Orang Asli #MRSM #sekolah berasrama penuh #Ramli Mohd Nor #Kongres Ekonomi Bumiputera