[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Rampasan ubat tidak sah meningkat kepada RM37.5 juta tahun lalu - Dr Dzulkefly

Asyraf Malik 03/05/2025 | 06:03 MYT
Dzulkefly selepas perasmian TOBaTS Zon Tengah 2025 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
KUALA SELANGOR: Sebanyak 21,571 perkara melibatkan produk ubat-ubatan, kosmetik dan bahan mentah tidak sah dengan nilai RM37.5 juta dirampas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2024.

Ringkasan AI
  • Rampasan ubat-ubatan, kosmetik dan bahan mentah tidak sah meningkat pada 2024, dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyita produk bernilai RM37.5 juta, berbanding RM24.8 juta pada tahun sebelumnya.
  • Kempen TOBaTS dilancarkan untuk meningkatkan kesedaran, dengan penekanan bahawa ubat tidak sah boleh membahayakan kesihatan dan pengguna perlu berhati-hati sebelum membeli produk farmasi.
  • KKM menggalakkan orang ramai memeriksa kesahihan ubat-ubatan, termasuk menggunakan aplikasi FarmaChecker dan memastikan produk memiliki nombor pendaftaran MAL serta pelekat keselamatan Hologram FarmaTag.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, angka itu menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sekiranya dibandingkan bagi tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 20,157 rampasan bernilai RM24.8 juta.
Beliau berkata, seseorang doktor bertauliah mengambil masa untuk menentukan preskripsi bersesuaian berdasarkan kondisi pesakit.
“Apabila bercakap tentang ubat, penting untuk lihat dos, jenis penyakit, kekerapan dan waktu diberikan.
“Tiba-tiba hari ini semua mahu jadi pakar, inilah dia bala, sebab utama kita harus tolak ubat tidak sah.
“Ingat, jangan ambil ubat tidak sah, nanti kita juga yang susah,” ujar Dzulkefly ketika ucapan perasmian TOBaTS Zon Tengah 2025 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, di sini pada Sabtu.
TOBaTS atau Program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) merupakan kempen advokasi KKM bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr Azuana Ramli yang menyenaraikan beberapa aspek ubat tidak sah.
Ia merangkumi produk tanpa pendaftaran KKM, tiruan, dicampur bahan terlarang atau racun, diimport tanpa kelulusan serta berasal daripada sumber tidak sah.
Susulan itu, pengguna harus memainkan peranan untuk semak dahulu sebelum membeli ubat-ubatan terbabit.
Antaranya menggunakan aplikasi FarmaChecker di telefon pintar untuk memeriksa ketulenan ubat-ubatan, selain memastikan produk mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ dan pelekat keselamatan Hologram FarmaTag.
Katanya lagi, sekiranya mempunyai keraguan mengenai produk mencurigakan, pengguna boleh menyalurkan pertanyaan kepada KKM melalui SisPAA atau hubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi terdekat.
#ubat tidak sah #Kementerian Kesihatan #Dzulkefly Ahmad #jumlah rampasan