[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Rang Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan dibentang di Dewan Rakyat

Bernama 28/07/2025 | 06:20 MYT
RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 bertujuan mewujudkan mekanisme undang-undang untuk mengurus kes insolvensi rentas sempadan, termasuk pengiktirafan prosiding asing dan kerjasama antara mahkamah. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang bertujuan mewujudkan mekanisme berkesan bagi menguruskan kes insolvensi rentas sempadan, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.


Ringkasan AI
  • RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 bertujuan mewujudkan mekanisme undang-undang untuk mengurus kes insolvensi rentas sempadan, termasuk pengiktirafan prosiding asing dan kerjasama antara mahkamah.
  • Ia hanya terpakai kepada entiti korporat komersial dan tidak melibatkan individu, bank, institusi kewangan atau badan berkanun.
  • RUU ini dijangka meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa dan membantu syarikat menuntut aset luar negara untuk menyelesaikan hutang.


Ketika membentangkannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bacaan kali kedua akan turut dibuat pada sesi mesyuarat kali ini.

Dalam pada itu, menurut naskhah biru diedarkan di Dewan Rakyat, RUU merangkumi 35 fasal itu bertujuan mengadakan peruntukan, termasuk akses kepada mahkamah oleh wakil asing dan pemiutang asing, pengiktirafan prosiding asing, pemberian "relief" (pelepasan) berhubung pengiktirafan prosiding asing, kerjasama dengan mahkamah asing dan wakil asing serta penyelarasan prosiding serentak.

Fasal 11 RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 bertujuan memperuntukkan bahawa seseorang wakil asing, sama ada dilantik dalam prosiding utama asing atau prosiding bukan utama asing, boleh memohon untuk memulakan prosiding insolvensi di bawah undang-undang insolvensi Malaysia.

Sehubungan itu, Fasal 12 menyentuh peruntukan hak seseorang wakil asing apabila prosiding asing diiktiraf untuk mengambil bahagian dalam prosiding mengenai penghutang di bawah undang-undang insolvensi Malaysia.

Fasal 22 pula mengadakan peruntukan bagi perlindungan pemiutang dan orang berkepentingan lain dalam menjalankan kuasa mahkamah di bawah akta yang dicadangkan.

Selain itu, Fasal 23 merujuk peruntukan bagi tindakan mengelak kemudaratan kepada pemiutang dalam konteks insolvensi rentas sempadan.

Bagi peruntukan kerjasama dengan mahkamah asing dan wakil asing, Fasal 25 mencadangkan mahkamah boleh bekerjasama dengan mahkamah asing atau wakil asing secara langsung atau melalui seseorang pemegang jawatan insolvensi Malaysia.

Fasal 29 di bawah peruntukan prosiding serentak pula bertujuan mengadakan peruntukan bagi penyelarasan prosiding insolvensi serentak di bawah undang-undang Malaysia dan prosiding asing.

-- BERNAMA


#RUU Insolvensi Rentas Sempadan #Rang Undang-Undang #Dewan Rakyat #insolvensi rentas sempadan