Rangka manusia separa reput ditemukan terdampar di Pantai Lagenda, Pekan

Pihak polis menerima makluman mengenai penemuan rangka itu kira-kira 10 pagi daripada penduduk kampung kawasan terbabit. - Facebook DUN Peramu Jaya
KUANTAN: Polis menemukan rangka manusia separa reput di persisir Pantai Lagenda, Kuala Pahang di Pekan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Zaidi Mat Zin berkata pihaknya menerima makluman mengenai penemuan rangka itu kira-kira 10 pagi daripada penduduk kampung kawasan terbabit, sebelum pasukan siasatan digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kawasan kejadian jarang dikunjungi orang ramai dan hasil pemeriksaan awal di lokasi serta ke atas rangka berkenaan tidak menemukan sebarang unsur jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada butiran identiti ditemukan kecuali tatu di bahagian belakang pinggul yang menjadi satu-satunya petunjuk.
Zaidi berkata rangka berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pekan kira-kira 11 pagi untuk tindakan lanjut, namun proses bedah siasat tidak dapat dijalankan kerana hanya tinggal rangka.
"Pengambilan sampel DNA perlu dilakukan oleh pakar tulang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Pihak Hospital Pekan akan berhubung dengan HTAA bagi pengesahan tarikh bedah siasat dan memaklumkan perkembangan lanjut kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan itu diminta tampil membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


