MALAYSIA

Rapid Bus laksana fasa akhir migrasi aplikasi Rapid On-Demand

Bernama 10/11/2025 | 09:15 MYT
Rapid Bus memaklumkan langkah itu melibatkan penutupan fasa terakhir bagi zon yang sebelum ini beroperasi menggunakan aplikasi Kummute, sekali gus menyatukan semua zon perkhidmatan di bawah satu platform digital. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melaksanakan fasa akhir penyelarasan aplikasi tempahan bermula 15 Nov ini, bagi menyempurnakan migrasi ke aplikasi tunggal Rapid On-Demand.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu melibatkan penutupan fasa terakhir bagi zon yang sebelum ini beroperasi menggunakan aplikasi Kummute, sekali gus menyatukan semua zon perkhidmatan di bawah satu platform digital.

"Penyatuan ini menggantikan tiga aplikasi berbeza yang digunakan sebelum ini iaitu Mobi, Trek Rides dan Kummute, menjadikan proses tempahan lebih mudah, seragam dan mesra pengguna," menurut kenyataan itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata pelaksanaan fasa itu melengkapkan transformasi digital perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang dijalankan secara berperingkat sejak Jun 2025.

"Dengan penyelarasan penuh semua zon ke dalam aplikasi Rapid On-Demand, pengguna kini boleh membuat tempahan dengan lebih mudah tanpa perlu beralih antara aplikasi berbeza. Ia adalah langkah penting yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih lancar, mudah dan konsisten di seluruh Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata penyelarasan itu juga adalah usaha berterusan untuk memperkukuh kesalinghubungan serta kemudahan akses sistem pengangkutan awam bandar, sejajar dengan aspirasi Rapid Bus ke arah mobiliti pintar dan inklusif.

Fasa akhir itu turut melibatkan penggabungan dan peluasan beberapa zon sedia ada termasuk Stesen Sri Rampai/Ulu Klang ke Taman Melawati, Taman Medan ke Sunway serta Stesen Taman Bahagia ke SS7.

Penggabungan zon pula melibatkan Stesen Putrajaya Sentral-Presint 1, Stesen Putrajaya Sentral-Cybersouth/Dengkil dan Sungai Way-Stesen Taman Paramout.

Rapid Bus turut memaklumkan pengguna kini hanya perlu menggunakan aplikasi Rapid On-Demand, yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.

"Promosi tambang RM1 masih diteruskan bagi setiap perjalanan dengan kaedah pembayaran boleh dibuat menggunakan kad Touch'n Go, DuitNow, kad debit atau kredit, e-Dompet, kad konsesi MyRapid: Rapid Mesra (dahulu OKU Smile) serta Rapid Pelajar (dahulu MyRapid Pelajar)," menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai zon liputan, cara penggunaan serta pas perjalanan Rapid, ikuti media sosial rasmi Rapid KL atau layari laman web kami di www.myrapid.com.my.

-- BERNAMA


#Rapid Bus #Rapid On-Demand #aplikasi tempahan #aplikasi baharu