MALAYSIA

Rapid Bus lancar kumpulan bas diesel terakhir, bakal beralih ke teknologi elektrik

Asyraf Malik 14/07/2025 | 05:20 MYT
Anthony Loke (tiga, kanan) merasmikan kumpulan bas diesel terakhir Rapid KL di Batu Caves, Selangor pada Isnin. -Gambar Astro AWANI/Ikqwan Lee
BATU CAVES: Sejumlah 310 bas baharu diperkenalkan Rapid Bus di bawah Program Penggantian Bas bertujuan memperkukuh sistem pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 310 bas baharu diperkenalkan oleh Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang di bawah Program Penggantian Bas untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam.
  • Daripada jumlah itu, 200 adalah bas mini untuk kawasan perumahan, 70 dihantar ke Pulau Pinang, dan 110 adalah bas panjang; kesemuanya menggunakan piawaian Euro 5 yang lebih mesra alam.
  • Bas diesel ini merupakan kumpulan terakhir sebelum peralihan kepada bas elektrik bermula 2026, dengan sasaran penggunaan penuh bas elektrik menjelang 2037.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sekitar 1,000 buah bas beroperasi di Kuala Lumpur buat masa ini, namun laporan penganalisis menganggarkan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 bas diperlukan untuk perkhidmatan efisien.

“Daripada 310 buah bas ini, 200 merupakan bas mini berkepanjangan 9 meter yang penting untuk operasi di kawasan perumahan, sebagai ‘feeder’ kepada hab pengangkutan.

“70 buah bas mini akan dihantar ke Pulau Pinang. Manakala 110 buah bas lagi adalah bas panjang 12 meter dengan kapasiti 60 penumpang pada satu masa.

“10 bas yang dilancarkan hari ini akan terus beroperasi, manakala 230 bas bakal diperoleh dalam beberapa bulan menjelang akhir tahun, baki 80 bas pada awal tahun hadapan,” ujar Loke dalam sidang media Penerimaan Kumpulan Akhir Bas Diesel Rapid KL, di sini, pada Isnin.

Tambah Loke, kumpulan bas baharu ini menggunakan piawaian Euro 5 yang berupaya merendahkan pelepasan gas nitrogen oksida sebanyak 24 peratus sekali gus menjaga kelestarian alam.

Tinjauan Astro AWANI mendapati bas edisi baharu ini mempunyai konsol pemandu futuristik, tempat duduk penumpang ergonomik dan estetik, tiang pemegang keluli tahan karat serta paparan peta laluan digital.

Jelas Loke lagi, unit Rapid Bus dibenarkan mempunyai jangka hayat selama 14 tahun sahaja, sekiranya mencecah 15 tahun ia akan ditamatkan perkhidmatan.

Dalam pada itu, kumpulan bas diesel ini adalah yang terakhir dipesan Rapid Bus, kerana bermula tahun 2026 akan beralih ke penggunaan bas elektrik.

“Kita sasar semua guna bas elektrik pada tahun 2037. Perancangan rapi perlu dilakukan untuk permulaan era bas elektrik seperti kemudahan fasiliti pengecasan, serta latihan teknikal dan penyelenggaraan,” ujar Loke.





#Rapid Bus #bas diesel #Anthony Loke #Program Penggantian Bas #nitrogen oksida