NATIONAL

Rapid KL On-Demand solusi isu pengangkutan 'first mile, last mile' - Loke

Asyraf Malik 27/03/2025 | 07:27 MYT
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau operasi perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Depoh Rapid Bas Maluri, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Antara kekangan pengangkutan awam daripada menjadi pilihan rakyat adalah jarak kediaman ke stesen terdekat seperti Transit Aliran Ringan (LRT) atau Laluan Transit Aliran Massa (MRT).


Ringkasan AI
  • Masyarakat kini boleh memesan perkhidmatan van Rapid KL On-Demand untuk membawa mereka dari kawasan perumahan ke stesen LRT atau MRT dengan harga serendah RM1 sempena diskaun pembukaan hingga Jun.
  • Menjelang Jun 2025, sebanyak 250 van akan beroperasi di 91 zon sekitar Lembah Klang, dengan masa perjalanan serendah 10 minit untuk tiba di stesen. Van ini juga dilengkapi sistem pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit.
  • Inisiatif ini diharapkan dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan kos pengangkutan, dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.


Menteri Pengangkutan ,Anthony Loke berkata, masyarakat kini boleh memesan perkhidmatan van (Rapid KL On-Demand) untuk membawa mereka ke stesen pengangkutan awam, dari kawasan perumahan terus ke LRT atau MRT.

Dengan harga serendah RM1 sempena diskaun pembukaan hingga Jun, pengguna boleh menggunakan aplikasi dalam talian untuk memanggil van Rapid KL On-Demand di rumah, alternatif lebih menjimatkan dan efisien berbanding perkhidmatan bas perantara atau e-hailing.

"Menjelang Jun 2025, sebanyak 250 buah van Rapid KL On-Demand akan beroperasi di kesemua 91 zon di sekitar Lembah Klang. Dijangka masa perjalanan serendah 10 minit untuk van tiba di stesen. Setiap zon itu mempunyai antara 20 hingga 30 hentian.

"Radius operasi untuk sebuah van Rapid KL On-Demand di satu zon adalah 5 kilometer. Jika mendapat sambutan memberangsangkan, jumlah unit van akan terus ditambah.

"Diharap inisiatif ini dapat menggalakkan masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian, terutamanya di kawasan penduduk berkepadatan tinggi seperti apartmen dan kondominium," ujarnya.

Tambahnya, van Rapid KL On-Demand ini juga dilihat akan membantu mengurangkan kos pengangkutan sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Selain itu, 20 van Rapid KL On-Demand yang beroperasi di zon baharu dilengkapi sistem pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kad kredit.

Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau sekiranya baki kad Touch 'n Go tidak mencukupi.

Bagi van Rapid KL On-Demand yang lain, kerja mengintegrasi sistem pembayaran terbuka ini akan dibuat secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2025.






#Rapid KL On-Demand #stesen LRT #stesen MRT #pengangkutan awam