KUALA LUMPUR: Rapid KL mengesahkan seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke landasan di Stesen Gombak dalam kejadian sekitar 9.05 pagi tadi.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, penumpang terbabit berjaya dibantu keluar dari kawasan landasan dan dibawa ke bilik kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.
"Sejurus insiden berlaku, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa ke landasan juga diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pasukan operasi dan polis bantuan menjalankan tindakan segera," menurut Rapid KL dalam kenyataan tersebut.
Rapid KL menambah, penumpang terbabit telah dibawa ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati landasan berada dalam keadaan selamat, manakala operasi tren disambung semula pada 9.12 pagi.
Rapid KL turut menasihatkan penumpang supaya mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran media sosial rasmi Rapid KL.
Terdahulu, tular di media sosial gambar seorang wanita didakwa terjatuh di atas landasan di Stesen Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak, dalam kejadian pagi ini.